Lelaki di Kobe, Jepun ditahan selepas disyaki melakukan penderaan apabila memotong rambut anak perempuannya dengan mesin rambut secara paksa. Menurut polis di Hyogo, suspek berusia 34 tahun itu memotong rambut mangsa dengan potongan 'buzz cut' antara jam 10.50 malam dan 1 pagi pada 4 hingga 5 Ogos, lapor media tempatan Sankei Shimbun seperti dipetik Japan Today.
Difahamkan, sebelum kejadian suspek juga pernah menendang wajah mangsa hingga mengakibatkan kecederaan serius termasuk retak tulang muka. Sumber polis berkata, sebelum kejadian mangsa memiliki rambut panjang yang dibiar melepasi pinggang, namun dia kini hampir botak akibat perbuatan bapanya itu. Kecewa diperlakukan sedemikian, anak suspek melarikan diri dari rumah sebelum isteri lelaki itu melaporkan mengenai kehilangan kanak-kanak terbabit kepada polis. Anggota yang menemui kanak-kanak berusia 11 tahun itu mengesyaki mangsa didera selepas mendapati kesan lebam pada kedua-dua matanya selain kepalanya yang hampir botak.
Berikutan itu, mangsa diserahkan kepada pusat kebajikan kanak-kanak, manakala suspek dtahan polis untuk membantu siasatan. Suspek kemudian mengaku mendera kanak-kanak itu untuk mendisiplinkannya kerana mangsa dikatakan tidak mengdengar kata. - CARI
|
ADVERTISEMENT