Seorang penuntut tahun dua sebuah universiti di China membunuh diri selepas tertangkap meniru ketika peperiksaan. Penuntut pengajian teknologi komputer bernama Shi, 20, dilaporkan kantoi sedang melihat telefon pintarnya di bawah meja ketika peperiksaan jam 2.30 petang pada 6 Jun lalu.
Shi meninggalkan dewan peperiksaan sekitar 20 minit kemudian selepas kertas soalannya dirampas dan ditemui mati melompat dari sebuah bangunan di kampus berkenaan kira-kira jam 3 petang. Sejurus sebelum membunuh diri, Shi mengirimkan pesanan ringkas terakhir kepada ibunya. "Maaf, ibu tak perlu risau tentang saya," tulisnya. Keesokan harinya, pihak universiti mengumumkan insiden berkenaan menerusi laman sosial dengan memaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan mangsa dimarahi pengawas peperiksaan, mahupun berlaku sebarang pertengkaran mulut antara mereka. Menurut seorang warganet di Sina Weibo yang dipercayai sepupu mangsa mendakwa Shi diperlakukan tidak adil oleh pihak universiti kerana hanya kertas peperiksaannya dirampas sedangkan seorang lagi calon peperiksaan dibiarkan terlepas selepas kantoi meniru. "Kami mengakui Shi bersalah kerana meniru ketika peperiksaan, namun ia tidak bermakna pihak universiti boleh lepas tangan berhubung insiden ini. "Kami masih tertanya-tanya tekanan apa yang dialami Shi dalam masa 20 minit hingga membuat dia mengambil keputusan membunuh diri dan sehingga kini pihak universiti belum memberi sebarang penjelasan," kata Zhang kepada Global Times. Sementara itu, insiden serupa berlaku di India juga hari Sabtu waktu tempatan. Pihak universiti menjelaskan kepada media bahawa penuntut wanita jurusan perdagangan, Anju P Shaji, 20, tertangkap meniru dengan membawa masuk nota ke dalam dewan peperiksaan. New Indian Express melaporkan mangsa hilang pada 6 Jun sebelum mayatnya ditemui pada tengah hari keesokannya dalam Sungai Meenachil iaitu empat kilometer dari jambatan Cherpungal, tempat beg tangan dan kasutnya ditemui. Bapa mangsa bagaimanapun menafikan anaknya meniru ketika peperiksaan dan menyalahkan pihak universiti kerana memalukan Anju di hadapan calon peperiksaan lain hingga menyebabkan anaknya membunuh diri. - CARI
|
ADVERTISEMENT