Ketika dunia mungkin akan menghadapi perang sekali lagi, presiden Rusia Vladimir Putin memandang serius isu ini dan telah mendedahkan senjata nuklear baru yang akan membantu Rusia menewaskan Amerika Syarikat. Senjata nuklear ini bertindak sebagai Intercontinental Ballistic Missile (ICBM), peluru berpandu yang dikawal pada perlancaran dan akan jatuh pada sasaran mengikut hukum graviti. ICBM yang dikatakan mampu membawa satu atau lebih senjata nuklear, bahan letupan, senjata biologi dan kimia ini baru dilancarkan dan diberi kod nama Satan 2. Satan 2 atau nama rasminya RS-28 Sarmat akan menggantikan misil ICBM versi lama RS-36M Voyevoda yang dipakai Rusia sejak Perang Dingin pada era 1970-an. Dilaporkan, sebutir misil ICBM RS-28 Sarmat mampu membawa bahan nuklear yang cukup untuk menghancurkan kawasan sebesar Texas atau negara Perancis. Vladimir Putin, berkata yang RS-28 Sarmat, atau Satan 2, tidak mempunyai had jarak untuk dijatuhkan walaupun media The Guardian Rusia melaporkan jarak misil ini mampu mencecah sehingga 6,800 batu atau melebihi 10,000 kilometer. Putin juga berkata yang misil ICBM Satan 2 adalah kebal kepada sistem pertahanan serangan misil walaupun milik Amerika Syarikat. Satan 2 yang telah dimulakan pembinaan sejak 2009 mampu membawa sehingga 15 warhead. Warhead adalah kepala misil yang diisi dengan bahan letupan atau bahan nuklear. Tambahnya, 15 warhead ini mampu dijatuhkan pada lokasi berbeza menggunakan teknologi Multiple Independently Targetable Re-entry Vehicle atau MIRV. Satan 2 mempunyai berat sekitar 220 tan dan ketinggian sekitar 119 kaki. Satan 2 juga mampu bergerak dengan kelajuan maksimum sekitar 16,000 batu sejam. Menurut ketua Jawatankuasa Pertahanan dan Keselamatan Senat Rusia, Viktor Bondarev, Amerika Syarikat mungkin memerlukan sehingga 500 misil untuk menggagalkan serangan sebutir misil ICBM Satan 2. Memetik laporan businessinsider.my, mengikut perkiraan, Satan 2 mampu membawa bahan letupan berasaskan nuklear sehingga lapan megatan kuasa letupan TNT. Dalam istilah mudah, jumlah ini adalah dianggarkan 400 kali ganda lebih kuat daripada dua bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Bom atom Little Boy yang dijatuhkan di Hiroshima mempunyai kuasa letupan sebanyak 15 kilotan TNT, manakala Fat Man yang dijatuhkan di Nagasaki adalah sebanyak 20 kilotan TNT. Sistem pertahanan serangan misil dipanggil sebagai kinetic kill vehicle. Mempunyai peluru berteknologi tinggi yang dilancarkan dengan misil, peluru ini akan menyasarkan warhead, sekaligus melumpuhkan misil pihak lawan. Satan 2 dicipta untuk menangani sistem ini, dengan sistem umpan yang boleh menarik perhatian kinetic kill vehicle untuk menembak sasaran yang salah. Memandangkan teknologi kinetic kill vehicle juga masih dalam peringkat pengujian sejak berabad lamanya, peratusan kemungkinan Satan 2 untuk kena pada sasaran adalah sangat tinggi. Walau bagaimanapun, Satan 2 masih jauh untuk mencapai kuasa letupan bom nuklear Tsar Bomba, yang juga dihasilkan oleh Kesatuan Soviet dengan kuasa letupan sebesar 50 megatan TNT dan kekal bom terkuat pernah dicipta manusia dalam sejarah. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|