PASTI semua orang sudah melalui zaman remaja di mana ada pahit dan manisnya. Terbaru, drama terbitan Suhan Movies, Sahabat bakal mengembalikan nostalgia itu sebanyak 36 episod. Menurut pengarahnya, Imri Nasution, ada persoalan yang dibangkitkan apabila menyentuh tentang drama Sahabat ini. “Soalannya, berapa ramai kawan sekolah dulu yang masih kita berhubung sehingga hari ini? “Sebenarnya, kita kena tanya balik pada diri sendiri. Kalau tanya pada diri sendiri pun, saya rasa bersalah,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Sahabat, hari ini. Mengulas lanjut mengenai drama itu, beliau menjelaskan fasa cinta remaja dan persahabatan itu memang dilalui semua orang yang sudah melepasi usia remaja. “Pada saya, siapa-siapa pun akan lalui saat-saat ini. Kita sendiri tak tahu, bagaimana hubungan persahabatan itu menjadi merenggang,” katanya. Meskipun ada konflik yang berlaku ketika itu apabila difikirkan kembali bukan perkara besar, namun itulah yang berlaku pada usia remaja. “Ada konflik-konflik yang kita lalui masa remaja, bila fikirkan balik tak konflik mana pun. "Tapi, untuk budak-budak, pada masa itu perkara kecil adalah serius buat mereka,” katanya. Sahabat mengisahkan tentang sekumpulan remaja baru tamat SPM yang dalam dilema sama ada akan terus bersama sebagai kawan atau tidak. Sahabat dibintangi Shukri Yahaya, Iezah Diyana, Liyana Jasmay, Syarif Sleeq, Izzue Islam, Aedy Ashraff dan Sarah Hairi. Cinta antara watak utama, lakonan Shukri sebagai Bakri dan Iezah sebagai Alia serta kisah persahabatan antara mereka bertujuh membangkitkan konflik yang banyak menjadi pengajaran. Penggambaran drama ini sudah bermula pada awal Mei lalu di sekitar Kuang, Kuala Lumpur dan Rawang. Drama ini bakal menemui penonton dalam masa terdekat di saluran Astro Ria.
|
ADVERTISEMENT