Suka atau tidak, nama Nabila Razali masih ampuh meskipun dihimpit pelbagai kontroversi sepanjang bergelar anak seni.
Meskipun bakat nyanyian sering dipersoalkan, namun satu perkara harus diingat iaitu lagu Peluang Kedua terus menjadi talian hayat buat Nabila untuk mempertahankan popularitinya dalam dunia showbiz. Jika tidak, masakan membolosi empat kategori, Penyanyi Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan dua menerusi kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular menerusi pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
Menerusi kategori Gandingan Serasi Drama Popular, Nabila dicalonkan bersama aktor, Aiman Ridza Hakim bagi drama Biar Mereka Cemburu dan pelakon sasa, Fahrin Ahmad dalam drama Kebaya Kasut Kanvas. Saban tahun dicalonkan dan pernah beberapa kali membolosi senarai Top 5, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali mengakui tidak pernah meletakkan sebarang harapan. Namun, kata Nabila, dia bersyukur namanya masih kekal relevan walaupun sudah lama tidak muncul dengan produk terbaharu. "Alhamdulillah, pencalonan ABPBH 34 membuktikan saya masih relevan walaupun sudah lama berehat berikutan pelaksanaan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara. "Saya amat terharu apabila orang masih memberi perhatian pada perkembangan kerjaya dan menantikan produk terbaharu dalam nyanyian mahupun lakonan," katanya kepada BH Online. Memasang impian tidak salah, Nabila berkata, dia mengharapkan kemenangan datang daripada trofi Penyanyi Wanita Popular, tahun ini. "Nyanyian adalah kecintaan saya. Justeru, sudah tentu saya memilih gelaran Penyanyi Wanita Popular jika ditanya kategori yang diharapkan. "Bagi saya, gelaran ini mampu mengukuhkan jenama saya dalam bidang nyanyian. Bukanlah kategori lain saya tidak mahu menang, tetapi dunia nyanyian lebih dekat di hati saya. "Saya bersyukur lagu Peluang Kedua berjaya mempertahankan populariti dalam nyanyian. Saya harap, lagu ini terus membawa tuah kepada saya," luahnya. Walaupun sering dihambat cerita panas, namun anak jati Kuala Lumpur itu tidak pernah menganggap kontroversi mampu memberi impak negatif terhadap kerjaya seninya. "Kontroversi adalah asam garam yang perlu dilalui setiap anak seni. Setakat ini, saya tidak anggap cerita panas yang melingkari hidup saya memberi reputasi buruk kepada kerjaya. "Saya melihat perkara ini daripada aspek positif, ia boleh menjadi pengajaran kepada generasi muda," ujarnya. Mengulas pembikinan single terbaharu, Nabila berkata, ia masih dalam proses penghasilan karya. "Saya harap peminat dapat menantikan projek single baharu yang akan dilancarkan, tidak lama lagi. "Insya-Allah, saya akan berkongsi dalam media sosial apabila sudah siap rakaman," janjinya. Sumber: BH Online |
Tukul.Besi replied at 28-9-2021 11:10 AM
Nak menamg penyanyi wanita popular? Mimpi je lah dik non. Fanbase pun x sebesar ctnana, terbaik pun ...
ADVERTISEMENT