Seorang pengawal keselamatan di Bekasi, Indonesia ditikam lelaki tidak dikenali selepas mengarahkan suspek memakai topeng mulut dan hidung. Memetik TribunNews, kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kompleks perumahan di Bekasi.
Menerusi rakaman berkenaan, kelihatan dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba menyerang seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pintu masuk perumahan berkenaan. Jurucakap polis Kompol Sutoyo berkata, dua hari sebelum kejadian berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topeng. Pertengkaran tercetus selepas lelaki itu disuruh pengawal keselamatan terbabit untuk memakai topeng. Bagaimanapun, tidak pasti sama ada teguran itu dibuat secara kasar sehingga berlaku pertengkaran. Tambah Kompol, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek berdendam selepas ditegur menyebabkan dia kembali ke tempat kejadian dua hari kemudian dengan senjata tajam.
"Suspek turun dari motosikal dan menyerang pengawal keselamatan terbabit sementara rakannya berjaga di motosikal berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian," katanya. Difahamkan, suspek yang kini dalam buruan polis bukan penduduk di kawasan perumahan berkenaan. Sementara itu, mangsa dilaporkan bernasib baik lukanya tidak parah dan dia kini dirawat di hospital. - CARI
|
ADVERTISEMENT