Seorang lelaki berusia 56 tahun dikejarkan ke dewan pembedahan selepas sekeping simen empat inci atau kira-kira 10 sentimeter (sm) ditemukan di dalam jantungnya. Daily Star melaporkan pesakit yang tidak dinamakan itu pada mulanya menjalani satu pembedahan lain, lima hari sebelumnya.
Menurut laporan diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, lelaki itu menderita intracardiac cement embolism iaitu kesan langsung daripada prosedur sebelumnya. Dia menjalani rawatan awal untuk patah tulang belakang dan prosedur yang dikenali sebagai kyphoplasty. Menerusi kyphoplasty, simen khas perubatan disuntik ke dalam vertebrata seseorang bagi merawat kecederaan tulang belakang dan sakit belakang teruk. Walaupun lebih 98 peratus pesakit pulih dalam beberapa jam selepas pembedahan, pesakit itu mengalami komplikasi kronik.
Simen yang disuntik itu rupa-rupanya bocor sebelum sebahagiannya yang sepanjang 10 sm menjadi keras dan menuju ke jantungnya. Walaupun kebocoran adalah komplikasi kyphoplasty yang diketahui dan didokumentasikan pada masa lalu, ia jarang berlaku. Menurut laporan jurnal berkenaan, semasa pemulihan prosedur pertama, pesakit secara tiba-tiba mengalami gejala membimbangkan. Dia mengadu sakit dada, bahu dan rahang, serta mengalami sesak nafas. Lelaki itu segera dikejarkan ke wad kecemasan apabila doktor mengenal pasti punca kesakitannya. Sekeping simen ditemukan menusuk jantungnya, dan mengenai paru-paru kanan pada masa sama. Pesakit dikejarkan kembali ke dewan pembedahan supaya doktor mengeluarkan objek asing itu dan memperbaiki kerosakan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT