Pakar memberi amaran bahawa selipar atau kasut boleh menjadi pembawa Koronavirus. The Sun melaporkan, penyelidik mendapati selipar atau kasut yang dipakai pesakit positif Covid-19 dan petugas kesihatan boleh 'meninggalkan' wabak itu di atas lantai yang dijejaki mereka.
Berikutan itu, doktor kini menggesa orang ramai menanggalkan kasut mereka segera sebaik pulang ke rumah. Difahamkan, penyelidik dari China membuat penemuan itu setelah mengesan "penyebaran" virus di wad hospital di Wuhan. Kumpulan diketuai Dr Zhen-Dong Guo dari Akademi Sains Perubatan Tentera di beijing itu mengumpul sampel swab dari permukaan yang berpotensi tercemar di unit rawatan rapi (ICU) dan wad biasa dari 19 Februari hingga 2 Mac lalu. Kajian mereka mendapati 70 peratus sampel dari permukaan lantai hospital berkenaan menunjukkan positif Covid-19.
Mereka mendakwa ini mungkin berlaku kerana graviti dan aliran udara menyebabkan titisan virus terjatuh ke lantai. "Oleh itu, kasut dipakai petugas kesihatan mungkin boleh menjadi pembawa virus berkenaan," kata mereka. Selain lantai, tombol pintu, pengadang katil, tong sampah dan tetikus antara permukaan objek yang didapati positif Covid-19. Kajian itu bagaimanapun menunjukkan virus berkenaan 'tidak melekat' pada alat pelindung diri (PPE) yang dipakai petugas kesihatan. Berikutan penemuan itu, doktor menggesa orang ramai menanggalkan kasut dengan segera sebaik pulang ke rumah. Sementara itu, Dr Javid Abdelmoneim di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan berkata, virus itu boleh hidup di permukaan kasut antara tiga hingga lima hari dan 24 jam pada pakaian. "Simpan kasut di luar rumah dan kalau boleh pakai sepasang kasut sama ketika keluar rumah," katanya. - CARI
|
ADVERTISEMENT