Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, UMNO akan rosak jika Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Besar Pahang semula.
Memetik Sinar Harian, Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemu bual New Straits Times Press bagi mengulas pendapat seorang individu menerusi sebuah blog yang berhasrat melihat Najib kembali sebagai Menteri Besar Pahang. Najib sebelum ini memegang jawatan Menteri Besar Pahang ke-12 pada Mei 1982 hingga Ogos 1986. Menurut Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, tidak masuk akal jika Najib berhasrat berbuat demikian memandangkan dirinya terpalit dengan beberapa siasatan jenayah.
"Ini satu langkah ‘mengerikan’ jika ada cadangan Najib yang kini sedang dalam siasatan dipilih menjadi Menteri Besar Pahang. "Jika saya mahu menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang mahu membunuh pembangkang, saya akan mengatakan 'Alhamdulillah, saya menyokong langkah itu 100 peratus' kerana kemunculan Najib akan membunuh UMNO," katanya. Tambahnya, dia mahu melihat UMNO menjadi pembangkang yang kuat dan mengimbangi kerajaan yang ada sekarang. "Jika kita mahu melihat UMNO kembali kuat dan bertindak sebagai pembangkang yang teguh, maka Najib tidak boleh menjadi ketua pasukan," tegasnya. - CARI
|
ADVERTISEMENT