Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini tidak membenarkan solat sunat Tarawih berjemaah di masjid dan surau bagi membendung penularan Covid-19. Sehubungan itu, JAIM mengeluarkan garis panduan kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di negeri itu.
"Pegawai bertugas melaungkan azan Maghrib dan Isyak di masjid hendaklah menunaikan solat Tarawih di rumah masing-masing dan masjid hendaklah ditutup selepas solat Isyak. "Program berbuka puasa di masjid dan surau, tadarus al-Quran, qiamullail, khatam al-Quran, kenduri arwah dan memasak serta mengagihkan bubur lambuk hendaklah ditangguhkan," kata Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dalam satu kenyataan. Selain itu, hanya perhimpunan di masjid dan surau yang mendapat kebenaran atau arahan JAIM yang dibenarkan.
"Sehubungan itu, tiada solat Jumaat pada 17 April lalu dan esok, manakala solat Tarawih tidak ditunaikan secara berjemaah di masjid dan surau, sebaliknya ditunaikan bersama-sama anggota keluarga di rumah masing-masing," katanya. - CARI
|
ADVERTISEMENT