“Bagi saya sepatutnya berjalan secara tertutup sebagaimana biasa. Yang penting keadilan kepada semua pihak." Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak bersetuju dengan cadangan kes perbicaraan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung, lapor MalaysiaKini. Menurutnya, perbicaraan secara langsung akan mendedahkan kepada pelbagai ulasan, tohmahan dan spekulasi selain mengganggu prosiding mahkamah dan mendedahkan kepada pelbagai kesalahan perundangan. Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berpendapat sebaliknya kerana dengan cara itu, rakyat dapat mengetahui jumlah wang negara yang telah "dirompak". Bagaimanapun, dia menyerahkan keputusan itu kepada mahkamah, katanya kepada Sinar Harian. Namun, berbeza dengan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan siaran perbicaraan secara langsung hanya akan menjadikan ia seperti "persembahan sarkas". Najib sebelum ini menyokong petisyen yang dibuat netizen agar perbicaraan membabitkan kesnya disiarkan secara langsung.
|
ADVERTISEMENT