Seorang lelaki cuba memeras lima juta yuan (RM3,031,505) daripada sebuah restoran 'hot pot' di China dengan meletakkan bangkai tikus di dalam makanannya. Shanghaiist melaporkan, pada November tahun lalu, Guo bersama isterinya mengunjungi rangkaian francais restoran makanan hot pot terkenal, Haidilao di Beijing.
Selepas 20 minit makanannya tiba, Guo memanggil seorang pelayan untuk mengadu kononnya terjumpa bangkai tikus di dalam hidangannya. Difahamkan, staf restoran terbabit kemudian menawarkan beberapa baucar makanan percuma sebelum seorang lagi pekerja menawarkan untuk menambah 20,000 yuan (RM12,126) sebagai ganti rugi. Guo bagaimanapun menolak tawaran itu dan menuntut ganti rugi sebanyak lima juta yuan menyebabkan Haidilao membuat laporan polis dan selepas disiasat, Guo ditahan kerana disyaki melakukan pemerasan. Ketika perbicaraan di mahkamah, Guo mengaku bersalah atas tuduhan itu dan mengakui dia terjumpa bangkai haiwan berkenaan semasa pulang ke kampung halamannya di wilayah Henan, lalu memasukkannya ke dalam botol untuk dibawa pulang ke Beijing. Guo menjelaskan dia pada awalnya hanya menginginkan makanan percuma, namun berubah fikiran dan menjadi tamak. Sebelum ini, restoran itu menjadi tajuk berita utama apabila meraih hampir satu bilion dolar di bursa saham Hong Kong. Tidak lama kemudian, seorang pengunjung wanita mendakwa menemui tuala wanita di dalam hidangan di cawangan Shenzhen. Manakala, sebuah lagi cawangan di bandar Wuhan dikejutkan dengan video lucah di skrin besar restoran itu dipercayai dimainkan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan sambungan Bluetooth di telefon pintar. - CARI
|
ADVERTISEMENT