Sejak revolusi dunia digital semakin dekat di hati kita, nampaknya televisyen (TV) bukanlah satu-satunya medium penyampaian maklumat serta pengiklanan. Hal ini menyebabkan dunia pengiklanan sendiri berubah wajah, tidak lagi semata-mata diselitkan dalam program, sebaliknya dijadikan sebuah program khas untuk khalayak sasaran. Yang menjadi masalahnya apabila program pemasaran produk ini mengambil masa berjam-jam lamanya hinggakan slot drama atau animasi dan program lain umpama terus 'ghaib'. Menerusi laman Twitter, netizen ini tidak berpuas hati kerana terlalu banyak waktu siaran untuk program CJ Wow Shop berbanding program yang dinanti-nantikan penonton keseluruhannya.
Ramai netizen memahami program pengiklanan tersebut adalah cara stesen televisyen (TV) menjana pendapatan, tetapi janganlah sampai menghilangkan program lain. Jika mereka memberi alasan bahawa bajet tidak mencukupi untuk mendapatkan drama atau program baru, netizen ini mencadangkan agar stesen TV menyiarkan kembali drama bersiri yang popular pada awal tahun 2000 hingga 2009. Selain mengimbas memori penonton di zaman itu, mungkin dengan cara ini iklan akan masuk seperti dahulu. Selain Dunia Baru, ada satu lagi drama yang mempunyai genre sama iaitu Kami the Series yang mempunyai kelompok peminat tersendiri. Barisan pelakon dua drama ini seperti Elyana, Iqram Dinzly, Piere Andre, Liyana Jasmay, Juliana Evans, Nas T, Almy Nadia antara pelakon yang meletup ketika itu.
Tidak hanya genre remaja, stesen TV juga mempunyai pilihan untuk menayangkan drama unik seperti Ghost lakonan Cherly Samad dan Kopitiam yang membawakan unsur perpaduan kepada penonton. Selain drama Malaysia, pihak stesen TV juga boleh mengulang tayang drama yang pernah menjadi fenomena dan ada antaranya masih menjadi trending hingga kini seperti Supernatural ataupun drama One Tree Hill dan Gillmore Girls. Manakala, peminat era akhir 90-an pula pasti mengimbau kembali drama Spanar Jaya. Tidak lupa program popular kanak-kanak iaitu Di Mana Joe Jambul. "Kalau tak tayang semua cerita ni pun takpa. Yang penting gantikan dengan rancangan TV, bukannya iklan membebel berjam-jam mengenai produk hingga membosankan penonton." Namun, netizen berandaian cadangan ini tidak akan ke mana-mana kerana semua stesen TV mempunyai program sebegini untuk menambah pendapatan. Apatah lagi sasaran mereka ialah suri rumah dan pesara yang mempunyai kuasa membeli walaupun kebanyakan barangan tersebut boleh dibeli menerusi laman sesawang beli-belah. Ramai juga netizen yang mengimbau kembali betapa seronoknya zaman ketika program produk belum meluas di kaca TV. Bagaimanapun, segelintir netizen tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana program produk ini banyak membantu pembeli dari segi masa dan tenaga. Selain itu, tidak boleh disamakan zaman dahulu dengan sekarang kerana segala keperluan sudah berbeza, jadi adalah tidak adil membanding-bandingkan kedua-duanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|