Siapa tak panas hati apabila barang yang dijual mengalami kerosakan dan tiada mana-mana pihak tampil untuk bertanggungjawab.
"Tak ada niat nak beli, jangan bagi anak masuk. Sebab ini kedai, bukan pusat asuhan. Banyak barang aku lingkup pasal anak hangpa (anda)," kata seorang wanita dalam loghat utara, menerusi video yang dimuat naik di laman sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi. Namun rungutan peniaga di sebuah gerai menjual permainan itu disalah ertikan oleh segelintir pihak kerana didakwa dia hanya mengalu-alukan pengunjung yang mahu membeli sahaja. Bercakap kepada mStar, peniaga berkenaan, Siti Suhani Md Daud memberitahu, dia mula membuka gerai permainan di sebuah tapak perniagaan di Pulau Pinang, sejak Mac lalu. Wanita berusia 26 tahun itu berkata, luahan tersebut dibuat selepas memendamnya selama dua minggu sejak gerainya bergabung dengan kedai-kedai makan lain di lokasi sama. "Masalah timbul apabila segelintir mak ayah bersikap lepas tangan membiarkan anak-anak mereka bersendirian di gerai mainan saya, dan mereka beratur beli makanan. "Mak ayah duduk makan di meja. Apabila selesai makan, mereka sembang atau tengok telefon. Anak-anak hanya dipanggil untuk makan atau balik," katanya ketika dihubungi mStar. Siti Suhani yang berasal dari Sungai Pinang, Georgetown itu bagaimanapun menjelaskan dia tidak pernah menghalang sesiapa untuk datang ke gerainya. "Saya tak kisah kalau orang yang datang ke gerai tidak beli apa-apa. Saya faham kadang-kadang mereka ambil masa untuk buat keputusan sebelum belikan untuk anak-anak mereka. "Tapi saya tak faham sikap mak ayah yang jadikan gerai saya macam taska. Mereka sibuk fokus pada makanan dan telefon, kalau apa-apa yang berlaku di gerai mereka tak akan tahu atau bertanggungjawab," ujarnya yang lebih dikenali sebagai Siti Suhani Online Mall. Dia yang menjual permainan sejak 2017 berkata, keadaan bertambah buruk sekiranya anak-anak pengunjung 'mengamuk' atau tantrum apabila permintaan untuk membeli permainan tidak dipenuhi. "Apabila mengamuk, habis dihempuk dan dicampak mainan di gerai. Itu belum lagi anak-anak pengunjung yang jenis lasak bermain, sampaikan ada mainan kucing saya rosak dijatuhkan. "Ada juga mainan buaya yang diusik mulutnya secara kasar berulang kali sampai patah. Apabila jadi macam tu, mak ayah tak akan nak beli sebab mereka sibuk di meja makan. "Saya tak tergamak nak minta ganti rugi. Macam mainan buaya tu dah patah 10 kali, kalau sebuah harga RM11, jadi saya kerugian RM110 untuk mainan tu sahaja," katanya sambil menambah gerainya menjual permainan pada harga serendah RM2.
|
ADVERTISEMENT