Gelaran artis tidak membawa apa-apa makna sekiranya individu terbabit menempuh kehidupan sukar tanpa pendapatan lain lebih kukuh.
Bagi penyanyi dan pelakon Sharzura Shamsiralan atau Zura, sekarang bukan zaman seseorang artis bergaya dengan imej dan penampilan semata-mata sedangkan poket kosong tanpa wang. "Tak perlu nak pertahankan ego sangat. Cari jalan alternatif dengan berniaga dan sebagainya demi untuk kelangsungan hidup. Apa guna bergaya sakan jika hanya harapkan tajaan. "Lain artis era dulu kerana diiktiraf sebagai artis sebenar. Berbeza sekarang di mana banyak yang 'up' diri sendiri, reka sendiri cerita di media sosial untuk orang bercakap.
"Mereka pasti takkan ke mana. Begitu juga artis lama takkan ke mana kalau hidup hanya harapkan tajaan dan bantuan," katanya tegas. Zura, 43, yang pernah menganggotai kumpulan The Girls bersama Farisha, Ita dan Hanim di bawah kendalian komposer Nasir Ahmad Nawab pada penghujung 1990-an, mahu setiap artis keluar dari kepompong dengan menceburi bidang perniagaan. "Bukan maksudnya artis tak perlu jaga personaliti atau menunjuk. Zaman sekarang, tak relevan nak jaga imej tanpa sebarang usaha lain untuk menambah pendapatan. "Artis sekarang kena berdikari dan menepis ego dengan berniaga. Macam saya sendiri juga berniaga pelbagai produk seperti pakai preloved, kosmetik dan pelbagai lagi. "Tak dinafikan ada mulut-mulut yang mengata. Tapi, demi kelangsungan hidup saya tak perlu nak ambil kisah. Sekarang zaman duit. Sekali buat live dapat RM150 pun bermakna kepuasan untuk diri sendiri," katanya. Pelakon drama Dirgahayu, Setitis Air Mata Ibu, Air Mata Syurga dan telefilem Aku Ingin Ke Syurga yang menetap di Kelantan ini selesa berdikari dalam kehidupannya. "Saya cari duit, tak meminta kat orang pun. Walaupun selepas ini saya jual nasi lemak tepi jalan, saya tetap usaha sendiri tanpa susahkan orang. "Soal populariti, orang memang tahu kita penyanyi yang berkarya. Bakat dan kebolehan takkan hilang. Sekarang dah lebih lima tahun saya berniaga, syukur dapat tampung kehidupan. "Tak dinafikan mula-mula orang tohmah macam-macam, tapi sejak 2013, setiap tahun saya mengeluarkan single dan muzik video," katanya. Lagu-lagu yang pernah dihasilkan ialah Lumrah Cinta pada 2013, Kau Bukan Siapa-Siapa (2014), Demimu Aku (2015), lagu raya Lebaran Ya Lebaran (2016) dan lagu loghat Kelantan, Kelateku Bahagio (2017) dan Cinta Tiada Restu (2020). "Dalam seni yang pentingnya ialah karya dan hasil. Kita kena ada lagu baharu setiap tahun. Saya berbangga ada lagu baharu hasil titik peluh sendiri dengan kerjasama komposer dan penulis lirik terkenal. "Ia tanpa sekatan iaitu dengan kemahuan dan modal sendiri. Nak harapkan tajaan memang susah. Sekarang pun jarang dengar artis diambil oleh syarikat rakaman. "Kalau tiada orang nampak pun, yang penting kita sentiasa berkarya. Biasalah kalau kita dah tiada baru orang kenang, cungkil balik. Saya tak sasarkan lagu meletup cuma nanti walaupun lama orang tetap kenang," katanya. Zura memulakan karier nyanyian bersama Angkatan Seni dan Kebudayaan Kelab Yayasan Negeri Sembilan pada 1998. "Ikutkan saya sinonim dengan artis 1990-an. Bersama The Girls kami buat 'tour' seluruh negara. Cuma rezeki saya untuk buat single hanya hadir pada 2013. "Saya tak pernah patah semangat bila tak dihargai dan buat saja kerja. Untungnya kerana suami pun pemuzik, sekali gus memudahkan karier saya. "Walau dinafikan dengan pelbagai cara, saya tetap kekal dengan imej sebagai penghibur. Pada saya, jauhkan sikap dengki tengok orang lain serta jangan berpuak-puak dalam seni," katanya yang kini dalam proses menyiapkan single terbaharu selepas ini. -CARI Sumber: Harian Metro
|
Nozot replied at 3-8-2022 06:18 PM
Muka guna produk timbang kilo sangat...next
ADVERTISEMENT