Mayat seorang kanak-kanak lelaki ditemui tersangkut di tebing tinggi di kawasan hutan di Wanayasa, Banjarnegara, Jawa Tengah.
Ketika ditemui, mayat berkenaan itu ditutupi dengan daun paku pakis dan dalam posisi tersangkut pada pokok di tepi tebing curam sedalam 200 meter. Sehari sebelum mayatnya ditemukan, kanak-kanak itu dikenali sebagai Ryan, 9, dilaporkan hilang oleh keluarganya. Ketua Polis Banjarnegara, Hendri Yulianto berkata, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang merupakan sepupu mangsa ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Katanya, suspek mengalami masalah ketagihan bermain permainan video dalam talian, namun disebabkan telefon bimbitnya rosak, maka dia ingin mengambil telefon milik Ryan. “Suspek menceritakan dia bertemu dengan mangsa pada hujung minggu lalu sebelum mengajaknya ke rumahnya dan di sana, Ryan serta beberapa rakannya bermain permainan video sebelum suspek tiba-tiba mengajaknya pergi memancing dengan menaiki motosikal dan memintanya meninggalkan telefon bimbit. “Ketika dalam perjalanan, suspek memberhentikan motosikalnya lalu mencekik mangsa dan mencederakannya dengan parang yang disimpan tepi motosikalnya,” kata Hendri. Selepas mangsa mati, suspek membuang parang tersebut bagi menghapuskan bahan bukti, selain menutup mayat mangsa dengan ranting kayu dan tanah. Hendri memaklumkan, suspek pada mulanya berpura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap mangsa sebelum dia ditahan polis dan akhirnya mengaku membunuh kanak-kanak itu. Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara seumur hidup. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT