Mahkamah Majistret Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap pelakon Niezam Zaidi selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan pada Oktober lalu. Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman itu selepas Niezam atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan secara berasingan pada pada Isnin. Menurut laporan Utusan, Niezam didenda RM4,000 manakala Mohd Latiff Zami, 50, (RM3,800) dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, (RM4,000). Niezam juga diperintahkan menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun manakala Latiff dan Saiful masing-masing tiga dan dua tahun. Mahkamah juga memerintahkan mereka dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dan mereka membayar denda tersebut. Menurut pertuduhan, Niezam didakwa memiliki kanabis seberat 0.60 gram manakala Latiff (0.20 gram kanabis) dan Saiful Zaidrin (0.03 gram methamphetamine) di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira pukul 7.15, 10 Oktober 2021.
|
ADVERTISEMENT