Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri yang tampil menegur usahawan sensasi, Kak KM atau nama sebenanya Liana Rosli mengenai kaedah pemasarannya yang keterlaluan dan mempunyai aksi lucah. Terpanggil untuk memberi teguran yang sama, pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun turut meluahkan rasa kesal dengan sikap Kak KM seolah tidak menghiraukan teguran. “Sungguh, saya terkesima melihat beberapa video beliau dan lagi terkilan bila turut melibatkan si anak, maaf saya tak sanggup tengok lebih banyak. “Ia ditonton oleh ribuan tanpa sekatan dan tapisan, pelbagai peringkat umur dan jantina, apa yang mereka fikir dan rasa saat melihat tak boleh dibayangkan kesan buruknya.
“Ini sebuah barah yang makin kronik dalam masyarakat, terutama di kalangan “founder” produk seumpamanya,” katanya.
Menerusi satu perkongsian di Facebook Asma turut menegur secara umum tentang sikap peniaga yang lebih mementingkan keuntungan berbanding keredaan Allah. “Kalian teruja apabila tontonan di media sosial meningkat, bagitu juga dengan jualan, walaupun dengan jalan maksiat yang dilakukan secara terbuka atas tujuan “marketing”… “Kerana ingin mengaut keuntungan dunia yang sementara, harga dan maruah diri wanita muslim sanggup digadaikan begitu saja, jika iman tidak boleh menghalang, dimana perginya rasa malu dalam diri?,” tulisnya. Asma turut mengingatkan bahawa tiada siapa mengetahui bila ajal mereka tiba dan bimbang tidak sempat memadam perkongsian foto atau video di media sosial. “Pernahkah terfikir bagaimanakah jika suatu hari nanti dipanggil bertemu-Nya, dalam keadaan sudah masuk ke liang lahad, namun dosa masih berjalan kerana video-video dengan aksi sebegitu masih kekal berada di media sosial. “Nauzubillahiminzalik. Moga sempat dipadam oleh diri sendiri bukan waris, kerana itu adalah tanda sempat bertaubat sebelum mati,” katanya. Tegas Ustazah Asma', bukan niatnya dan pendakwah lain termasuk PU Syed mahu tumpang populariti atau ambil alih tugas Tuhan untuk menegurnya namun didakwa teknik pemasaran yang digunakan agak keterlaluan dan lucah. "Harus faham, kami ni bukan buat kerja Tuhan tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam. "Saya juga sayang dan hormat kamu tapi lebih sayang kepada masyarakat dan generasi anak-anak kita yang telah dirosakkan minda dan akhlak oleh sebahagian selebriti, influencer, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial. "PU Syed, para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating. Popular dan pengaruh bukanah satu kebanggaan atau anugerah, ia hanyalah alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemingkaran," jelasnya. Terdahulu, PU Syed berkongsi cadangan kepada pihak berwajib agar menguatkuasakan pemakaian patuh syariat kepada semua umat Islam di Malaysia. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|