Kalau sudah bergelar insan seni, meskipun pernah menyepi seketika dari radar industri hiburan dan aktif dengan kerjaya lain, itu tidak bermakna mengucapkan selamat tinggal selamanya.
Sampai masa sesuai pasti akan muncul semula dengan produk baharu yang diyakini mampu membawa impak tersendiri. Bagaimanapun, penampilan terkini itu tidak bermaksud ingin meraih populariti. Bagi pelakon, penyanyi dan ahli perniagaan, Rafidah Ibrahim atau mesra disapa Fida, 35, dia kini merangka strategi untuk muncul semula dalam bidang nyanyian dan lakonan. Malah, khabarnya akan bekerjasama dengan pengarah, Mamat Khalid. "Selama menyepi dari kerjaya seni kerana memberi fokus pada perniagaan, saya banyak bermuhasabah diri. Apatah lagi, pelbagai pengalaman hidup sudah saya lalui untuk sampai pada tahap sekarang.
"Kini, saya semakin matang dan hanya bersyukur dengan apa yang dimiliki. Bahkan, saya juga tidak menduga pada ketika sektor ekonomi negara terganggu dengan penularan Covid-19, saya dapat terbabit dengan perniagaan produk makanan sejuk beku, Aris Burger. "Saya memilih produk makanan sebagai cabang perniagaan baharu kerana saya suka mengembara masuk hutan untuk melakukan aktiviti seperti berkhemah atau mendaki. Jadi, keperluan makanan ringkas begini diperlukan," katanya.
Menurut Fida, sebelum wabak Covid-19 melanda negara, dia sering mengisi masa lapang pada hujung minggu dengan menyertai aktiviti luar seperti berkhemah kerana lebih tenang mendekatkan diri dengan alam semula jadi. "Disebabkan itu, saya tahu betapa pentingnya makanan sejuk beku yang ringkas dan senang dimasak amat diperlukan oleh mereka yang suka masuk hutan. Jadi, alhamdulillah ada pula rakan kongsi dan saya terus mencuba. "Pada saya, keberanian diri penting untuk cekalkan hati supaya nekad mencuba dan berusaha. Kini, saya bersyukur apabila kerja keras dilakukan membuah hasil positif biarpun perlu mengorak langkah perlahan-lahan," katanya.
Berbicara aktiviti seni, Fida yang pernah muncul dengan lagu Apo Kono Eh Jang pada 2012 berkata, jika berpeluang menyanyi kembali dia ingin tampil dengan lagu berunsur nasihat sebagai peringatan bersama buat dirinya dan pendengar. "Saya akan lebih teliti pada lagu yang liriknya ke arah nasihat dan ketuhanan. Saya mahu karya lagu itu membawa impak positif pada kita semua yang mendengarnya untuk lebih bermuhasabah diri dengan erti kehidupan. "Apa genre lagu itu, saya tidak meletakkan ssbarang pilihan kerana lirik yang lebih utama. Untuk itu, jika saya berpeluang mendapatkan lirik lagu yang sesuai, saya sentiasa sedia mahu merakamnya," katanya lagi.
Mengenai lakonan pula, Fida berkata, dia kini dalam perancangan kerjasama dengan pengarah terkenal, Mamat Khalid. Bagaimanapun, sama ada ia karya drama atau filem, katanya belum diputuskan. "Kerjasama berkenaan masih dalam perancangan dan kena tunggu perkembangan seterusnya. Tetapi, insya-Allah jika tiada aral saya memang akan terbabit. Diharapkan semuanya lancar," katanya.
Terdahulu pada 5 Mei lalu, Fida selamat mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan dikenali Shahzemir Shahzulkarib, 37. Mereka sudah berkenalan selama 17 tahun lalu sejak zaman belajar di sebuah kolej. Ketika aktif berlakon dulu, Fida juga pernah muncul dengan drama seperti Cinta Tikar Sejadah, Epilog Syurga Cinta, Kasih Alia, Runtun Qalbu, Idris MLM serta Setulus Janji, termasuk filem Kongsi, Man Sewel Datang KL dan Adik Manja Returns. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|