CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Misteri & Sejarah Lihat artikel

Lokasi Paling Berhantu!!

11-10-2013 04:43 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 6076| Komen: 0

MUNGKIN ada yang tersenyum menonton iklan terbitan Proton yang memaparkan adegan puntianak ditegur ibunya kerana tidak memakai tali keledar penumpang belakang.

Akibatnya dia terhumban ke jalan raya apabila pemandu wanita kereta Proton itu terkejut sewaktu menekan brek kecemasan.

Iklan 30 saat itu cukup popular sekitar akhir 2007 kerana ia dipaparkan dalam bentuk lucu biarpun sekadar kempen kerajaan berhubung kesedaran pemakaian tali pinggang keledar.

Ironi, ramai pasti seram sejuk jika paparan sedemikian adalah realiti dalam kehidupan sebenar.

Namun ada juga yang pesimis kononnya hantu tidak wujud dan sekadar mainan perasaan semata-mata. Malah berdasarkan rekod saintifik, belum pernah ada manusia mati akibat dibunuh oleh hantu.


Terbaru, kawasan Gurun di Kedah mendapat perhatian ramai ekoran pendedahan beberapa pihak yang mendakwa melihat hantu hingga mereka terlibat dalam kemalangan.

Anehnya, lembaga eksentrik itu dikenali berdasarkan jenis pakaiannya - baju kebaya merah.

Kisahnya bertambah menarik apabila 'wanita kebaya merah' itu dipercayai roh jelmaan mangsa kemalangan maut yang tidak tenteram.

Kawasan lebuh raya makhluk itu berlegar kebetulan pernah mencatatkan banyak nahas ngeri suatu ketika dulu.

"Hakikatnya sejak dulu lagi manusia mudah takut kepada hantu akibat pengaruh filem cereka yang sebetulnya tidak berasaskan logik," jelas Ketua Penyelidik Kumpulan Pengkaji Paranormal terkenal tempatan atau PSI, Syed Abdullah Hussien Alattas.

Popular dengan gelaran Uncle Seekers, beliau mendedahkan Malaysia kemungkinan besar ialah negara yang paling banyak memiliki hantu.

Lebih menarik, perkara itu disahkan pula ramai pengkaji Barat berdasarkan kepada buku tulisan mereka sejak tahun 1896 hingga 1960-an.

Peliknya dalam tempoh kurang 100 tahun itu, ribuan buku penulis asing bercakap mengenai hantu di Malaysia mendedahkan negara kita 'mewah' dengan lebih 700 jenis hantu. Itu setakat jumlah yang baru sahaja dikenal pasti dan didaftarkan di dalam katalog.

"Angka sebenar mungkin banyak lagi tetapi mujur Malaysia selepas dibentuk pada 1963, menyaksikan semakin kurang penulisan ilmiah berkaitan hantu.

"Jika tidak tentu jumlah hantu negara kita sudah mencecah lebih 1,000 jenis," terang beliau dalam nada berseloroh.

Mengulas mengenai kepercayaan kepada hantu, masyarakat Orang Asli dikenal pasti paling tinggi memiliki jumlah hantu.

Ini berkait rapat dengan faktor kehidupan mereka yang banyak bergantung kepada alam sekeliling kerana mereka tinggal di dalam hutan.

Manakala kaum Melayu, ujar Syed Abdullah, tidak ketinggalan mempercayai sejumlah besar hantu, menjadikan mereka sebagai bangsa bertamadun moden yang 'meriah' dengan pelbagai makhluk halus.

Setakat ini, bilangan hantu dalam masyarakat Melayu dianggarkan ada 300 jenis.

Ini berdasarkan kajian beliau selama 19 tahun sejak 1989 dengan sokongan 17 penyelidik tetap dan 26 lagi separuh masa yang membentuk kumpulan PSI.

Mereka turut mendapat bantuan daripada sembilan bomoh dan 85 sukarelawan yang menjelajah ke seluruh negara.

Tidak hairanlah tema hantu juga menjadi pilihan pembikin filem genre seram bermula dengan Pontianak pada 1957 membawa kepada 33 filem. Antaranya Sumpah Orang Minyak (1958), Badang (1962), Si Tora Harimau Jadian (1964), Puaka (1974) dan Toyol (1981).

Namun, hantu biarpun sering dikaitkan dengan orang mati tetapi berdasarkan tinjauan Uncle sendiri ke atas bilik mayat Hospital Kuala Lumpur mendapati para petugasnya langsung tidak bimbang diganggu oleh makhluk halus itu walaupun bekerja keseorangan pada lewat malam.

Jurnal yang sempat menemu bual beberapa pekerja mortuari awam di sebilangan hospital kerajaan turut terkejut melihat mereka bertugas seperti biasa. Bagi individu terbabit, tiada apa yang perlu ditakutkan apatah lagi momokan hantu.

"Mengarutlah, mana mungkin orang mati boleh hidup!" Itu jawapan standard mereka.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, ada juga yang mengamalkan petua tertentu seperti membaca ayat Kursi selain tidak takbur dan yang penting, jangan panik!

"Mungkin sudah biasa bertugas di situ namun pemerhatian pasukan saya menunjukkan tiada aktiviti paranormal di sekitar bilik mayat atau kejadian aneh meskipun dipenuhi dengan ribuan mayat termasuk yang mati dibunuh, lemas atau terbakar," terang beliau lagi.

Bagaimanapun, pada umumnya kawasan perkuburan dan jirat Cina merupakan tempat paling banyak aktiviti hantu dicatatkan diikuti rumah tinggal atau bangunan terbiar lama, tempat penyembelihan haiwan ternakan, lokasi kejadian bunuh dan langgar lari mati.

Bercakap mengenai makhluk halus, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelaskan bahawa umat Islam perlu mempercayai kewujudan hantu sebagai ciptaan Allah berpandukan kepada pelbagai dalil al-Quran dan hadis Nabi.

"Namun Islam sebagai agama yang lengkap berasaskan sumber kitab Allah dan sunah Rasulullah mendidik umatnya menitikberatkan soal ilmu.

"Ini bermakna kita perlu melakukan banyak kajian tertentu berhubung kehadiran hantu di alam dunia," katanya.

Justeru beliau merujuk usaha pihak tertentu menggunakan teknologi canggih untuk mengesan makhluk halus yang boleh dianggap sebagai pendekatan sesuai bagi mendedahkan masyarakat dengan kewujudan hantu secara ilmiah selain memperbetulkan salah tanggapan umum selama ini.


Bagus

Marah
1

Terkejut

Sedih

Lawak
1

Bosan

Friends Rank (2 people)

  • Terkejut

    Anonymity

  • Bosan

    Anonymity


ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 08:20 AM GMT+8 , Processed in 0.033542 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top