Lelaki bertindak drastik dengan menculik seorang wanita selepas cintanya ditolak. Utusan melaporkan, lelaki berusia 27 tahun itu melarikan mangsa di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bertam, Kepala Batas kira-kira jam 10.30, malam tadi.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berusia 29 tahun itu dalam perjalanan pulang dari kerja menuju ke keretanya. Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila suspek muncul tiba-tiba sebaik dia memasuki kereta Proton Iriz sebelum ditolak ke tempat duduk penumpang. Video kejadian suspek melarikan mangsa menuju ke kawasan pasar awam di Tasek Gelugor menjadi tular sejak malam tadi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, cubaan saksi lelaki yang terdengar jeritan meminta tolong mengejar kenderaan tersebut gagal kerana dipandu laju.
Bimbang anaknya tidak pulang dari kerja dan gagal dihubungi, bapa mangsa mencari anaknya itu jam 11.30 malam, namun dia dimaklumkan rakan anaknya bahawa mangsa telah diculik lelaki berbaju kemeja. Tambahnya, suspek mengikat kedua-dua tangan mangsa ketika berada di pasar awam Tasek Gelugor, namun melepaskan ikatan mangsa 20 minit kemudian dan mengunci wanita itu di dalam kereta selama hampir satu jam. Suspek kemudian menghubungi abangnya dan memaklumkan mengenai kejadian sebelum abangnya bertemu mereka di pasar berkenaan. “Ketiga-tiga mereka kemudiannya menaiki kereta Proton Wira abang mangsa menuju ke Pantai Bersih, Butterworth dan berada di sana sehingga jam 4 pagi. “Difahamkan mangsa dipujuk supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis manakala suspek pula dipujuk menyerah diri sebelum abang mangsa membawa mereka ke Balai Polis Kepala Batas untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita. Bapa mangsa sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap suspek yang mempunyai rekod jenayah dadah kerana mengganggu anaknya, namun kes itu diselesaikan secara baik dan suspek berjanji tidak akan mengganggu mangsa lagi. Suspek ditahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah. - CARI
|
ADVERTISEMENT