ATAS faktor keselamatan, balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd. Ali enggan menerima pembayaran secara tunai wang saman fitnah oleh adik iparnya yang juga pelawak, Ali Puteh, semalam. Perkara tersebut dijelaskan peguamnya, Mohamed Ibrahim Mohamad menerusi satu hantaran video dalam Instagram Hidayah, hari ini. Kata Ibrahim, anak guamnya (Hidayah) telah menghubunginya sebaik Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, datang ke rumah Hidayah pada pukul 6.30 petang dengan membawa bersama wang tunai berjumlah RM75,000. "Puan Hidayah telah menghubungi saya untuk bertanya sama ada dia boleh mengambil RM75,000 tersebut (secara tunai). “Dari segi undang-undang tak ada masalah untuk Ali membayar wang tersebut secara tunai, tetapi saya mengambil kira pada waktu itu, apabila sejumlah wang sebegitu besar di bawa ke rumah Hidayah, pada waktu senja dan urusan itu dibuat secara siaran langsung.
Jadi semua orang akan tahu bahawa pada malam tersebut akan ada sejumlah wang yang besar yang akan disimpan di rumahnya. Wang tersebut tidak boleh dimasukkan di dalam bank sehingga keesokan harinya,” ujar Ibrahim. Justeru atas faktor keselamatan, Ibrahim telah mencadangkan agar wang tersebut dihantar ke firma guaman atau dimasukkan ke dalam akaun bank. “Jadi atas faktor-faktor keselamatan, kami nasihatkan Ali supaya wang itu di bawa ke firma guaman atau dimasukkan terus ke dalam akaun bank atau dibuat bank draf. “Ini semua atas faktor keselamatan. Saya percaya Hidayah tidak ada niat apa pun untuk menolak, kecuali mengambil kira faktor keselamatan,” jelasnya bersama Hidayah. Semalam, Ali berkunjung ke rumah Hidayah bagi melunaskan bayaran berjumlah RM75,486.48 secara tunai kepada Hidayah seperti yang diperintahkan mahkamah. Dalam kunjungan tersebut, Ali turut membacakan surat yang juga ditandatangani bersama kakak iparnya. Bagaimanapun, urusan pembayaran hutang saman berkenaan masih belum selesai selepas pihak Hidayah mahu Ali melakukan transaksi tersebut melalui peguamnya. Sumber – HIBGLAM |
ADVERTISEMENT