Penggunaan teknologi satelit termasuk satelit rangkaian 5G dilihat cara terbaik menangani masalah talian komunikasi di negara ini.
Selain lebih menyeluruh, kosnya lebih murah berbanding melalui pancaran menerusi menara komunikasi, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Difahamkan, penggunaan satelit itu dianggarkan melibatkan bajet sekitar RM2 bilion berbanding sistem 5G yang menelan belanja berkali-kali ganda malah kemungkinan puluhan billion ringgit. Secara logik, sistem 5G masih dikatakan belum dapat menyelesaikan masalah komunikasi talian telefon secara menyeluruh memandangkan sistem 4G sedia ada pun masih turut tidak dapat diakses oleh penduduk pendalaman. “Penggunaan satelit itu lebih jimat dan berkesan, kerajaan hanya perlu menyewa satelit dengan pihak tertentu dengan konsep ‘menang dan menang’,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini. Menurut Zahidi, kementerian pernah mengadakan perbincangan mengenai penggunaan dan penyewaan satelit berkenaan yang dimiliki oleh sebuah negara Arab. Zahidi juga bersetuju, penggunaan satelit akan dapat menyelesaikan masalah komunikasi talian telefon termasuk para nelayan yang berada di tengah-tengah lautan mahu pun di Laut China Selatan. Selain komunikasi talian telefon, penggunaan satelit itu juga dapat menyampaikan maklumat-maklumat penting seperti cuaca, keadaan banjir dan banyak lagi. “Memang ada perbincangan mengenai penggunaan satelit ini. Ia satelit milik sebuah negara Arab,” katanya. Selain itu, penggunaan satelit itu juga akan menguntungkan pengendali-pengendali telco dari seluruh negara. “Para pengendali telco akan mendapat manfaat dari penggunaan satelit ini dengan penyertaan mereka. Sebab itu kita anggap ia sebagai menang-menang situasi. “Ia menguntungkan pemilik satelit itu sendiri, pengendali telco dan juga kerajaan kerana hasil dan sumbangan dari telco itu sendiri amat besar,” katanya. Di samping itu, kata Zahidi, pengguna juga dapat jimat berbelanja kerana penggunaan satelit lebih murah berbanding kos pada masa kini. Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang menggunakan teknologi satelit sebagai penambahbaikan sistem komunikasi ketika berdepan situasi bencana. Zahidi berkata penambahbaikan itu bagi mengelakkan berlaku gangguan rangkaian telekomunikasi ketika bencana, seperti keadaan dialami ketika banjir besar yang melanda negara pada akhir Disember lepas. Katanya, penggunaan teknologi satelit termasuk satelit rangkaian 5G turut dapat membantu dalam pengurusan situasi bencana alam seperti menghantar amaran awal bencana kepada orang awam. Menurut Zahidi, kos penggunaan teknologi satelit lebih rendah selain tempoh untuk melaksanakannya singkat iaitu hanya lapan bulan. Sumber: MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT