Siapa sangka sebuah peti ais yang hilang akibat bencana banjir ditemui di atas sebatang pokok menerusi satu misi pencarian.
Berkongsi pengalaman, Suhairi Abdul Wahab berkata, dia dan rakannya merupakan antara mangsa banjir di Kampung Batu Kapor di Mentakab, Pahang. Pemuda berusia 31 tahun itu memberitahu, kawasan kampung paling terjejas teruk pada Isnin minggu lalu dengan ketinggian melepasi bumbung rumah. "Kejadian banjir dengan air paling dalam pada 20 Disember, tiang lampu pun habis tenggelam. Rumah mak saya pun terjejas, hampir keseluruhannya ditenggalami air.
"Kampung kami memang dah biasa dengan banjir, tapi kami tak jangka kali ini betul-betul dalam. Sikit lagi seluruh kawasan rumah ditenggelami air, hingga ada paras lebih tinggi dari bumbung rumah," katanya kepada mStar. Lebih mesra disapa Sifu, katanya, banjir mulai surut pada hari kelima dan kering sepenuhnya pada hari ketujuh. Mengenai pencarian peti sejuk yang hilang, katanya, ia merupakan permintaan bapa kepada sahabatnya yang dikenali sejak tadika, Azreen Abdul Majid, berusia 30 tahun. "Misi berlaku pada hari ketujuh selepas banjir apabila saya berselisih dengan rakan memandangkan kami lama tak berjumpa. Saya tanya nak ke mana? Dia kata nak cari peti ais. "Saya rasa macam kelakar sebab orang lain tak ada pula nak cari barang-barang yang hanyut ni," katanya yang sebelum itu membantu mengemas rumah rakan lain yang terjejas akibat banjir. Menurut peniaga itu, pencarian yang dilakukannya bersama rakan tersebut mengambil masa satu setengah jam sebelum menemukan peti ais yang hilang. "Selepas ronda-ronda satu kampung, kami akhirnya jumpa peti ais tersangkut di atas pokok rambutan. Jarak ia ditemui dengan rumahnya dalam satu kilometer. "Peti ais tu tersangkut pada ketinggian 5 kaki (1.5 meter). Masa tu saya tergelak sebab puas cari akhirnya jumpa tersangkut di celah pokok rambutan," katanya sambil menambah rakannya kusut memikirkan bagaimana untuk membawa turun peti ais berkenaan. Sifu berkata, peti ais yang dihanyutkan arus deras itu sebenarnya tidak boleh digunakan lagi, namun terdapat barang yang diletakkan bapa rakannya sebelum kejadian banjir. "Kawan saya nak cari peti ais tu sebab ayahnya letak peralatan menjala dalam tu. Mereka suka menjala dan memancing sebab itu ayah dia suruh cari. "Saya asyik gelak sambil cari peti ais tu sebab ayah dia marah dia tak angkat barang-barang rumah termasuk peralatan menjala ke tempat lebih tinggi, dia biarkan macam tu je," katanya. Sifu bagaimanapun memberitahu, malangnya peralatan menjala tersebut tidak ditemui dalam peti ais tersebut, dipercayai telah dihanyutkan arus deras.
|
ADVERTISEMENT