Penyanyi rap yang sohor dengan kumpulan KClique, MK,25, mengaku sehingga kini masih belum bersedia berkongsi perihal peribadi apalagi membabitkan soal cinta atau urusan hasrat berumah tangga dengan mana-mana wanita.
Kata MK dengan nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan ini, dia memilih pendekatan itu kerana meletakkan keutaman pada keluarga dan peminat yang selama ini telah memberi sokongan terhadap kerjaya seninya. “Beginilah, saya sendiri pun masih terkontang-kanting apatah lagi nak jaga orang lain. Nak dirikan masjid atau berkeluarga bukan satu perkara yang mudah. Banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam diri ini.
“Saya nak kumpul duit untuk keluarga dan orang-orang sekeliling yang saya sayang terlebih dahulu. Keluarga di Sabah pun perlukan banyak bantuan terutama pada waktu sekarang disebabkan pandemik Covid-19,” katanya. MK berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran 2 Juta Bangkit Belajar PTTI minggu lalu di ibu negara yang menyaksikan dia dan rakan seperjuangan, Iman Troye dilantik sebagai duta.
Selain itu, MK juga sedar sebagai artis dan selebriti, tentu dirinya tidak dapat lari daripada pertanyaan yang menyentuh perihal peribadi terutama mengenai siapakah wanita yang kini bertakhta di hati. “Cukup untuk saya katakan, buat masa sekarang, saya sedang dalam proses memperbaiki diri. Orang-orang sekeliling yang rapat dengan saya semua saya jaga perasaan mereka. “Kalau orang tanya saya sudah berpunya atau belum, saya tak berani nak jawab. Saya nak perbaiki diri terlebih dahulu. Jadi lebih baik untuk diri sendiri barulah untuk orang lain. “Saya tak ‘single’, ramai penyokong. Saya nak tonjolkan imej baik dahulu dan kemudian mungkin baru boleh masuk cerita yang seterusnya (cinta),”katanya.
Dalam pada itu, MK juga mengulas pandangan warganet mengenai gaya dan percubaannya dalam bidang lakonan menerusi drama berjudul The Hotel yang disifatkan masih kaku atau ‘kayu’. Menganggap segalanya sebagai satu proses pembelajaran, MK sedar masih banyak yang perlu diperbaiki daripada aspek mutu lakonannya. “Biasalah kalau ada yang kritik kayu. Tidaklah kayu sangat kan, tapi rasanya mungkin perkataan yang sesuai ialah kurang berpengalaman. “Bagi saya, langkah perlahan-lahan itu tidak mengapa. Sekurang-kurangnya sekarang dah ada pengalaman. Kayu atau apa, nanti lama-lama keluarlah bunga, keluarlah daun,”katanya.
Selain itu, MK mengaku kini sangat seronok berpeluang menceburi bidang baharu namun sedang berusaha untuk memperbaiki diri demi menghargai jasa dan sokongan para peminat dan pengikut. “Saya ambil kelas lakonan bersama Nabila Huda. Noki pun ambil kelas lakonan dengan dia. Apa pun, nyanyian tetap nombor saya. Rap itu jiwa sekarang cuma sekarang, kita ikut sahaja mana rezeki yang ada. “Jujurnya, saya seronok berlakon sebab dapat kenal orang, menjiwai watak dan keluar daripada zon selesa. Kalau ada peluang untuk berlakon lebih banyak projek selepas ini, saya akan teruskan dan pertimbangkan,” katanya. -CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|