Murid Dibelasah Cikgu Sekolah
Mohd Firdaus menunjukkan bahagian tengkuk yang dipukul sehingga menyebabkannya pengsan.
MARANG - Hanya kerana melambaikan tangan ke arah seorang guru lelaki, pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Kampung Seberang Marang di sini, pengsan setelah mendakwa tengkuknya dipukul guru berkenaan.
Mangsa, Mohd Firdaus Mohd Paudzi, 16, mendakwa sebelum dipukul, kepalanya turut dihantukkan ke kepala seorang rakan sekelasnya ketika mereka berada di koridor bangunan makmal oleh guru yang mengajar pendidikan jasmani itu.
Kejadian kira-kira jam 8.10 pagi, Khamis lalu itu, mengakibatkan mangsa pengsan di tempat kejadian dan terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
Bapa mangsa, Mohd Pauzi Khalid, 40, berkata, akibat kejadian itu, anaknya mengalami kecederaan di bahagian tengkuk serta kesakitan dalaman di kepala. Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Marang.
“Anak saya diperlakukan sedemikian dipercayai setelah melambai tangannya ke arah guru terbabit. Mungkin ketika tu, guru tersebut berada dalam keadaan marah.. oleh kerana anak saya mengaku melambaikan tangan kepadanya, dia terus dikasari.
“Selepas tengkuknya dipukul anak saya terus pengsan. Saya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi oleh isteri lalu bergegas ke sekolah untuk melihat keadaan anak saya,” katanya.
Menurut bapa kepada lima anak itu, dia boleh menerima kenyataan yang anaknya dihukum jika melakukan kesalahan, tetapi bukan dengan cara sedemikian.
Mohd Pauzi mendakwa, tindakan guru terbabit memukul anaknya tanpa sebab adalah tidak wajar.
“Saya buat laporan polis kerana mahu anak saya mendapat keadilan. Cikgu terbabit juga datang berjumpa saya untuk meminta maaf, namun saya tetap dengan pendirian tak mahu menarik semula laporan dibuat,” katanya.
Sinar Harian turut mengunjungi mangsa di rumahnya di Kampung Alor Tuman di sini, dan dimaklumkan dia hanya akan ke sekolah semula hari ini (esok). Dia bagaimanapun mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Kassim Husin sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut namun belum menerima laporan lengkap daripada pihak sekolah.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|