CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 246|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Kerajaan akan aktifkan pelan hadapi cuaca panas, kering

[Copy link]
Post time 10-1-2023 10:27 AM | Show all posts |Read mode

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) akan diaktifkan bagi persediaan menghadapi cuaca panas dan kering pada tahun ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pengaktifan pelan itu membolehkan semua kementerian, jabatan dan agensi terbabit mengambil langkah pencegahan pembakaran terbuka, pemantauan berterusan, tindakan penguatkuasaan dan pemadaman kebakaran sekiranya berlaku.

Beliau berkata, ia bertujuan mengelakkan pencemaran udara dan jerebu.

"Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan mengaktifkan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka dan Pelan Tindakan Operasi (PTO) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut membabitkan semua negeri bagi memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut untuk mencegah kebakaran.


"Kerajaan juga akan melaksanakan pemantauan berterusan melalui sistem pemantauan kebakaran tanah dan hutan dalam negara serta di rantau ASEAN yang dibangunkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) iaitu Fire Danger Rating System (FDRS).

"FDRS sudah digunakan oleh semua negara ASEAN sejak ia diperkenalkan pada 2003, bagi memantau kemungkinan berlakunya insiden kebakaran hutan dan tanah gambut," katanya kepada BH.

Nik Nazmi berkata demikian ketika mengulas laporan media sebelum ini iaitu Kerajaan Indonesia menjangkakan tahun ini lebih kering berbanding tiga tahun lalu, yang berkemungkinan membawa risiko kebakaran hutan lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Laporan yang memetik Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Dwikorita Karnawati, sebagai berkata Ayunan Selatan El Nino dan Dipol Lautan Hindi dijangka berada pada fasa neutral pada 2023, bermakna kepulauan itu akan mengalami penurunan hujan berbanding 2022.

Nik Nazmi berkata, NRECC juga akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang dipengerusikannya, membabitkan lebih 40 kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, mesyuarat itu bakal mengatur strategi dan memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cuaca panas dan kering serta kemungkinan berlakunya jerebu.


NRECC akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan bagi mengatur strategi dan memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cuaca panas dan kering serta kemungkinan berlakunya jerebu. - Foto hiasan NSTP

"Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan akan diaktifkan berdasarkan pemantauan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan tindakan semua kementerian, jabatan dan agensi terbabit akan dilaksanakan sebagaimana yang digariskan melalui pelan ini.

"IPU dan maklumat kualiti udara boleh dirujuk melalui portal Air Pollutant Index Management System (APIMS) atau melalui aplikasi MyIPU," katanya.

Memandangkan isu jerebu adalah bencana alam sekitar yang turut dihadapi negara ASEAN, beliau berkata, pentadbiran negara serantau juga komited dalam pencegahan kebakaran berskala besar yang boleh menyebabkan jerebu merentas sempadan.

Katanya, ia selaras dengan Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang dipersetujui
pada 2002.

Beliau berkata, pelbagai usaha berterusan di peringkat nasional dan serantau juga sudah dilaksanakan termasuk perkongsian amalan dan teknologi terbaik, pembangunan kapasiti dalam pengurusan tanah gambut serta pencegahan kebakaran dan pemadaman.

Nik Nazmi berkata, pemantauan cuaca dan titik panas serta pelaporan di peringkat ASEAN ketika musim panas dan kering turut dilakukan secara harian atau mingguan bagi mengelak kejadian kebakaran berskala besar yang menjadi punca utama jerebu merentas sempadan.

"Komitmen dalam pencegahan pencemaran jerebu merentas sempadan dibincangkan secara berkala dalam mesyuarat peringkat pegawai dan mesyuarat peringkat menteri melalui Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawatankuasa Pemandu peringkat Menteri di Sub-Wilayah (MSC) mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

"Mesyuarat itu membabitkan lima negara iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, diadakan sebelum bermulanya cuaca panas dan kering pada setiap tahun bagi membincangkan persediaan negara berkenaan.

"Perbincangan juga dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa dan pihak terbabit dalam Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan membabitkan 10 negara bagi melaporkan semua tindakan dan membuat ketetapan serta hala tuju berkaitan isu atau pelaksanaan AATHP ini," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, lazimnya selatan rantau ASEAN akan berhadapan dengan Monsun Barat Daya (MBD) dengan cuaca yang lebih kering berbanding Monsun Timur Laut dan fasa peralihan monsun, sekitar Mei hingga September setiap tahun.

Ketika itu, katanya, angin yang bertiup adalah secara konsisten dari arah barat daya dengan keadaan atmosfera lebih kering dan kelembapan udara rendah serta menyebabkan pembentukan awan yang kurang mengakibatkan kekurangan taburan hujan.

Beliau berkata, faktor itu turut memberi kesan kepada peningkatan kes pembakaran terbuka khususnya membabitkan kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, belukar, hutan dan tanah gambut.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk meramal kemungkinan berlakunya cuaca panas dan kering yang ekstrem semasa MBD pada tahun ini.

"Berdasarkan semakan MET Malaysia dan laporan terkini Climate Prediction Center, National Oceanic and AtmosphericAdministration (NOAA) pada 3 Januari 2023, menunjukkan cuaca lembab (La Niña) sudah berkurangan dan kebarangkalian berlakunya cuaca panas dan kering (El-Niño) pada Julai hingga September 2023 adalah sekitar 49 peratus.

"Pun begitu, data dan kajian terdahulu menunjukkan bahawa kesan fenomena cuaca panas kering terhadap negara adalah unik dan berbeza-beza," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -cuaca-panas-kering
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2024 01:22 AM GMT+8 , Processed in 0.049911 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list