CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 613|Reply: 0

[Selangor] Jambatan Bailey bantu penduduk terputus hubungan

[Copy link]
Post time 2-1-2022 05:29 PM | Show all posts |Read mode

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman (kanan) meninjau pemasangan jambatan Bailey di Kampung Tanjung Pauh, Batu 19 Sungai Lui, Hulu Langat. - Foto ihsan KKR

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang jambatan Bailey atau jambatan mudah alih untuk menggantikan sementara jambatan di Kampung Tanjung Pauh, Batu 19 Sungai Lui, Hulu Langat dekat sini yang runtuh akibat banjir besar, 18 Disember lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata kerja pemasangan jambatan berukuran 18 meter panjang dan sembilan meter lebar berkenaan dimulakan sejak petang semalam dan dijangka siap pagi esok.

Beliau berkata, pembinaan jambatan berkenaan bagi membantu 12 keluarga yang terputus hubungan dengan laluan utama selepas jambatan ke kawasan kediaman mereka yang merentasi Sungai Langat runtuh akibat banjir.

"Sebelum pemasangan jambatan sementara dilakukan, JKR Hulu Langat melalui kontraktor membina 'abutment' (penyangga) di tebing sungai yang dimulakan sejak Rabu lalu dan disiapkan semalam.

"Jambatan ini dibawa dari JKR Petaling, semalam dan kerja pemasangan dilaksanakan 14 kakitangan JKR Petaling yang pakar dalam pemasangan jambatan Bailey dibantu 20 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang juga pakar dalam pemasangan jambatan jenis itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu bersama Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman serta Jurutera Daerah Hulu Langat, Zulfaizal Mat Zin melawat lokasi pemasangan jambatan Bailey di lokasi berkenaan.

Terdahulu, Wan Ahmad Uzir dan Mohamad Zulkefly bersama kira-kira 200 sukarelawan KKR daripada pelbagai agensi di bawah kementerian itu membantu membersihkan rumah penduduk di Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas banjir selain menyampaikan sumbangan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Uzir berkata pemasangan jambatan Bailey antara bantuan permulaan KKR dalam membaiki infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir di kawasan berkenaan.

"Selain itu, kita akan membaiki jalan-jalan yang rosak, cerun yang runtuh serta jambatan yang runtuh yang mana kerja pembaikan infrastruktur ini perlu dibuat dengan cepat seperti yang disarankan Perdana Menteri.

"Perkara ini tidak boleh ditangguh, perlu diteruskan kerana apa yang penting ialah rakyat dapat kesinambungan akses terutama yang terputus laluan," katanya yang turut memaklumkan jambatan Bailey yang dibina akan kekal sehingga jambatan baharu dibina.

Wan Ahmad Uzir berkata difahamkan peruntukan membina jambatan baharu di kampung itu akan diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi dan untuk sementara penduduk menggunakan jambatan Bailey yang dipasang sementara menunggu jambatan baharu siap.

Dalam pada itu, katanya KKR turut mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen), JKR Malaysia yang beroperasi 24 jam sehari bagi memantau dan melaporkan situasi banjir atau bencana alam yang berlaku di seluruh Malaysia.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat kerosakan sebarang infrastruktur seperti jalan, cerun dan sebagainya juga boleh disalurkan kepada JKR melalui talian 1300-88-577.

Sementara itu, Mohamad Zulkefly berkata satu lagi jambatan Bailey turut dipasang di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan menggantikan sementara jambatan di kampung itu yang runtuh ekoran banjir.

Menurutnya, JKR mempunyai 14 set jambatan Bailey yang disimpan di tujuh stor JKR di beberapa negeri dengan setiap stor mempunyai dua set jambatan itu.

"Bekalan sedia ada jambatan Bailey sudah kehabisan kerana digunakan di beberapa negeri lain yang mengalami masalah sama sejak tahun lalu.

"Justeru kita bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mereka turut mempunyai bekalan dan kepakaran pemasangan dan dalam masa sama, kerajaan sudah meluluskan pembelian baharu beberapa jambatan Bailey," katanya.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2024 05:00 AM GMT+8 , Processed in 0.055608 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list