CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

123
Return to list New
Author: Syd

Orang Minangkabau, Budaya & Adat Perpatih

[Copy link]
Post time 13-7-2008 07:29 AM | Show all posts
pandai dia nyanyi......
sedap lak pelat2 dia tuh
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 31-12-2008 12:00 PM | Show all posts
Adat Perpatih


Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.

Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-12-2008 12:00 PM | Show all posts
Prinsip-prinsip Adat Perpatih

Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.

   1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.

   2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.

   3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

   4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.

   5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-12-2008 12:00 PM | Show all posts
Pembahagian harta

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 2-1-2009 01:32 AM | Show all posts
Teringat aku kat lagu tema Tahun Melawat Negeri Sembilan dulu.Antara lain lagu tu sebut seperti berikut :-

Kualo Pilah telapak adat
Seri Menanti bandar dirajo
Koto Lukut koto sejarah
Koto Sejarah

Dek bulat kato muafakat
Undang Lembago Buapak
Itu asas terbino Negeri Sembilan
.

Apa yang aku faham dari lagu ni ialah masyarakat Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih ni sangat mementingkan konsep permuafakatan bersama (consesus) di dalam setiap keputusan yang mereka ambil.

Wallahualam.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 7-1-2009 07:07 AM | Show all posts
Daya tahan Adat Perpatih

Oleh RAIS YEOP JOHARI dan NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Ia diasaskan oleh seorang pemimpin Minang, Sutan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang dan mula diamalkan di Negeri Sembilan sejak 650 tahun lalu.







APABILA menyebut mengenai Adat Perpatih yang telah sekian lama menjadi darah daging masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, ada segelintir masyarakat yang berada di luar lingkaran adat itu berpendapat adat tersebut menjadi penghalang ke arah kemajuan orang Melayu di negeri itu.

Mereka merasakan adat yang diamalkan sejak sekian lama oleh beberapa generasi sudah lapuk dan ketinggalan dek zaman dan tidak sesuai dipraktikkan pada zaman sekarang yang menuju ke era globalisasi.

Hakikatnya, Adat Perpatih yang diamalkan di negeri itu merupakan peraturan hidup atau undang-undang yang mampu bertahan sepanjang zaman.
Ini kerana Adat Perpatih lengkap dengan garis panduan meliputi Adat Sebenar Adat, Adat Yang Diadatkan, Adat Yang Teradat dan Adat Istiadat.



TUANKU MUHRIZ TUANKU MUNAWIR (tengah) pada majlis pemasyhuran sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Adat yang masih diamalkan itu turut selari dengan ajaran agama Islam yang menjadi agama rasmi, seperti yang dijelaskan dalam kata-kata:

Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah
Syarak mengata
Adat memakai



Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman memberitahu, Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau di Sumatera, Indonesia.

Menurutnya, ia diasaskan oleh seorang pemimpin Minang, Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang dan mula diamalkan di Negeri Sembilan sejak 650 tahun lalu.

Katanya, adat yang dimaksudkan dalam pemakaian Adat Perpatih ialah undang-undang atau peraturan hidup yang lengkap meliputi aspek kehidupan masyarakat sama ada sosiol, politik dan agama.


MUHAMAD SHARIP OTHMAN

Beliau kesal kerana ada sesetengah masyarakat luar mempunyai pandangan sempit mengenai adat yang diamalkan itu apabila mereka berpendapat Adat Perpatih adalah adat sosiobudaya yang mudah digambarkan seperti adat dalam perkahwinan.

"Sebab itu, ia (adat) dimaksudkan sebagai undang-undang yang harus dipelihara sepanjang zaman. Contohnya, jika undang-undang tidak dipatuhi, sudah tentu ia tidak dapat memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

"Masyarakat umum kena buka minda agar dapat lebih memahami tentang adat ini. Ia telah disusun elok untuk kesejahteraan dan kestabilan masyarakat," katanya ketika ditemui Kosmo! di Balai Undang Luak Rembau, Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurutnya, Adat Perpatih diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang majoritinya adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Katanya, mereka terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku.


ALAT-ALAT yang digunakan untuk persandingan dalam majlis perkahwinan orang Melayu Negeri Sembilan.

Muhamad Sharip memberitahu, pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah antara warisan Adat Perpatih. Begitu juga dengan pelantikan Undang Luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu yang kesemuanya berteraskan kepada adat berkenaan.

"Adat ini diwariskan dari generasi ke generasi merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, pelantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan serta pelbagai aspek lagi.

"Setiap peraturan atau adat dalam Adat Perpatih ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat tersebut," kata beliau lagi.


DIKIR Rebana Rembau turut memeriahkan lagi majlis Istiadat Menyalang Dato'-Dato' Lembaga dan Buapak Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak Luak Rembau.

Ujarnya, pelantikan pemimpin, contohnya pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dibuat bukan mengikut keturunan dari bapa ke anak tetapi melalui kebulatan (mesyuarat) oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu.

Empat Undang Luak itu akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari Raja Raden Ibni Raja Lenggang untuk pemasyhuran menjadi Yang Dipertuan.

Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak.

Sharip berkata, kuasa Undang Luak adalah sangat luas dalam menjalankan pentadbiran dan Undang Luak juga mempunyai pembesar iaitu Lembaga yang menasihatkan Undang dalam pemerintahannya.

"Ketua bagi setiap suku dipanggil Lembaga dan mempunyai gelaran masing-masing. Lembaga berfungsi sebagai pentadbir kepada sukunya dan memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah berhubung dengan adat, harta, penceraian, pertelingkahan dan sebagainya," katanya.

Sekiranya Lembaga tidak dapat mencari jalan penyelesaian, maka perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Undang Luak.

Dalam pada itu, Undang Luak Rembau itu juga berkata, masih ada segelintir masyarakat luar salah tafsir mengenai Adat Perpatih dalam pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan.

"Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat adalah tanah yang dipusakai turun temurun daripada nenek moyang sesebuah keluarga.


BUAPAK dan Ibu Soko Suku Paya Kumbuh (Baruh) menghadap Undang Luak Rembau di Rembau, Negeri Sembilan.

"Tujuan tanah adat ini diberikan kepada perempuan semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita. Anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu berusaha untuk terus hidup.

"Mengenai harta atau tanah yang diperoleh sebagai harta sepencarian, pembahagiannya menurut hukum faraid iaitu tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya dikhususkan untuk perempuan," katanya.

Menurut beliau, kata-kata 'Adat bersendikan syarak... syarak bersendikan Kitabullah...' merujuk kepada adat yang diguna pakai sejak dahulu hingga kini tetapi ia selari dengan ajaran agama Islam berteraskan al-Quran (Kitabullah).

"Kita sudah banyak kali mengadakan seminar dan membentangkan kertas kerja mengenai adat dan agama. Sememangnya dari dahulu lagi al-Quran menjadi pegangan dalam penggunaan Adat Perpatih.


UNDANG LUAK REMBAU menyerahkan keris kepada Tok Menti Nor Ehzan Maah, Buapak Suku Biduanda Sedia Raja Kampung Bukit.

"Sebab itulah adat ini bersifat global, menjadi amalan sepanjang zaman dan tidak akan lapuk dek zaman. Jika disusuri sejarah, kedatangan orang Minangkabau ke negeri ini turut melibatkan proses asimilasi kepada penduduk pribumi untuk menganuti Islam," katanya.

Menurutnya, bidalan 'biar mati anak jangan mati adat' yang sering diperdebatkan dan dipertikaikan oleh sesetengah pihak perlu difahami sedalam-dalamnya kerana pemakaian kata-kata itu adalah bertepatan dalam aturan hidup.

"Adat bermakna undang-undang. Maka kata-kata itu sebenarnya merujuk kepada undang-undang. Justeru, adat ini perlu dipatuhi dan tidak boleh dilenyapkan.


TUNKU BESAR TAMPIN dan Undang Yang Keempat bergambar
dengan Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di Tanah Melayu,
Sir Donald Charles Mac Gillivray.

"Contohnya, jika ada individu bersalah atau anak-anak buah didapati bersalah, mereka mungkin dihukum mati. Hukuman itu harus dijalankan biarpun terpaksa mengorbankan nyawa. Jika undang-undang tidak diguna pakai dalam peraturan hidup, ia akan merosakkan sistem itu sendiri.

"Dengan kata mudah, kalau seseorang itu didapati bersalah di bawah Kanun Keseksaan, ia boleh dihukum di bawah akta itu. Jadi, mana boleh akta tersebut tidak diguna pakai," jelasnya.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 7-1-2009 07:09 AM | Show all posts
Transformasi Adat Perpatih

Oleh NOOR HASLIZA NUSI dan ADHAM SHADAN


Adat Perpatih secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum Hawa dari sudut harta pusaka. Persoalannya, adakah ia masih utuh dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan?



YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz
Tuanku Munawar (kiri) menerima Mas Merah daripada Undang
Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Petra Mubarak Dohak.



ADAT Perpatih yang bermula 650 tahun lalu adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya ketika itu adalah petani.

Tiada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat itu mula diwujudkan. Namun, Adat Perpatih telah dibawa ke Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau sejak ratusan tahun lalu.

Di Malaysia, Adat Perpatih masih wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian penduduk di Melaka terutama di Naning, Alor Gajah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Menyelami prinsip Adat Perpatih, ia secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum Hawa dari sudut harta pusaka khususnya tanah adat.
Mungkin kerana itu, ramai yang menganggap seolah-olah wujud wanita dari keluarga Adat Perpatih yang bersikap queen control sekiranya berkahwin dengan lelaki yang berasal dari negeri lain.

Kononnya segala harta pusaka milik suami akan diserahkan bulat-bulat kepada isterinya. Si suami pula harus tinggal di rumah isteri atau mentua.
Menjadi persoalan, adakah adat itu masih utuh dipraktikkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan biarpun negara telah mengalami perubahan zaman yang begitu drastik.



Dr. Shamsul Amri Baharuddin

Menurut Profesor Antropologi Sosiol dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Adat Perpatih masih terus diamalkan oleh masyarakatnya tetapi ia kini telah mengalami perubahan mengikut arus zaman.

"Ia berubah dari segi bentuknya, tetapi isi atau prinsipnya masih kekal sehingga hari ini," itulah jawapan pertama yang dinyatakan beliau ketika ditemui Kosmo! di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Bangi baru-baru ini.

Antara prinsip Adat Perpatih yang masih kekal diamalkan adalah keturunan dikira melalui nasab ibu.

Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada kaum wanita yang dianggap bonda kandung, iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.

Prinsip yang kedua, bagi masyarakat yang tinggal di kampung mereka tinggal di kawasan ibu sebelah isteri.

"Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya untuk menetap di kampung atau kawasan ibu kepada isterinya sebagai orang semenda.

"Cuma, bagi mereka yang berhijrah di luar kawasan Negeri Sembilan, contohnya di Pahang, Kelantan atau Perlis, prinsip itu mengalami perubahan iaitu si ibu hendaklah tinggal bersama anak perempuan dan menantunya.

"Hal yang melibatkan pembahagian harta pula membabitkan anak perempuan mewarisi harta pusaka manakala anak lelaki menyandang saka. Ini adalah prinsip yang ketiga. Ia menjelaskan bahawa hanya anak lelaki yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala anak perempuan mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

"Prinsip perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang tetapi orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku dan ini menjadi antara prinsip yang masih diamalkan masyarakat Negeri Sembilan," katanya merujuk kepada prinsip yang keempat dan kelima.

Shamsul Amri menjelaskan, apa yang dikatakan telah mengalami perubahan adalah dari segi penghijrahan tempat tinggal masyarakatnya. Ini menjelaskan sifat komuniti masyarakatnya tidak lagi bersemuka berbanding dahulu iaitu tinggal dalam satu kelompok atau satu kampung yang sama.

"Ramai dalam kalangan masyarakatnya, khususnya remaja telah berhijrah di negeri lain dan masing-masing memegang jawatan dan kerjaya sendiri.

"Ini bukan bermakna mereka mengabaikan Adat Perpatih, sebaliknya mereka dipengaruhi oleh aspek kehidupan moden Melayu pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, adat itu masih diamalkan tetapi bilangan pengamalnya tidaklah sebanyak puluhan tahun lalu.

"Ia masih diamalkan tetapi tidaklah seperti 50 atau 30 tahun lalu. Kebanyakan yang mengamalkannya ialah mereka yang tinggal di tanah adat iaitu di kawasan yang mengamalkannya.

"Sekarang ini, penghijrahan ke banyak tempat adalah perkara biasa. Masing-masing sudah bebas dan menentukan hala tuju sendiri.

"Konsep adat berpegang kepada 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Apabila kita tidak lagi berada di dalam kawasan tanah adat, kita tidak lagi terikat dengan adat tersebut sebaliknya kita terikat dengan adat di kawasan yang kita duduki.

"Justeru, tidak timbul soal berhijrah lalu mengabaikan adat," katanya.

Beliau menjelaskan, adat sebenarnya tidak jumud dan ia bersifat dinamik. Perubahan boleh berlaku dengan syarat disepakati oleh semua pihak yang terlibat.
"Muafakat adalah ibu adat," tambahnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-1-2009 10:41 AM | Show all posts
Tradisi lisan dalam perkahwinan Minang-Mandailing

Minang-Mandailing bertemu Melayu
Berijab kabul di Tanah Deli
Ucapan selamat pengantin baru
Kepada Ikhwan dan juga Fifi


PANTUN di atas saya lafazkan sewaktu diundang untuk memberi nasihat pada majlis Mangalehan Mangan di sebuah rumah kawasan elit di Medan, Sumatera Utara, Sabtu lalu.

Mangalehan Mangan adalah amalan dalam adat perkahwinan suku Mandailing (Tapanuli Selatan) di mana sanak saudara dan sahabat handai pengantin memberi hadiah dan nasihat dalam suasana sangat akrab dan penuh rasa kekeluargaan.

Dalam bahasa Melayu ungkapan Mangalehan Mangan itu bererti "memberikan makanan". Makanan itu terdiri daripada nasi yang ditutupi lauk-pauk dan dihidangkan dalam sebuah dulang besar di depan pengantin yang duduk berdampingan, bersila dan bersimpuh dikelilingi kaum keluarga.

Menjelang bermulanya acara, nasi dan lauk-pauk di atas dulang besar itu ditutup dengan daun pisang dan di atas daun itu pula dihamparkan kain bersulam hampir menyerupai permaidani nipis.

Bila acara bermula, daun pisang dan kain digulung dengan teliti. Maka terdedahlah sejenis rendang kepala kambing, kepak dan dada ayam serta udang besar dan beberapa jenis ikan. Semuanya diletakkan di atas nasi sebagai satu lapisan.

Selama hampir dua jam, makanan itu terdedah menjadi tontonan sebelum dimakan oleh pengantin yang saling suap-menyuap dan diikuti oleh tetamu lain.

Namun bukan sekadar makanan. Paling banyak diberikan kepada pengantin dalam majlis Mangalehan Mangan itu ialah kata-kata nasihat.

Pertama, nasihat diberi oleh anggota keluarga pengantin yang dianggap penting dan utama hubungan kekeluargaannya atau lebih kanan kedudukannya dalam sistem adat.

Bagi yang mahir tentang adat dan sastera tradisi, nasihat diberi berasaskan tafsiran simbolik dengan merujuk kepada aspek positif daripada sifat atau kehidupan kambing, ayam, ikan dan udang yang pada saat itu sudah menjadi lauk dan terhidang di atas dulang di depan pengantin.

Udang dianggap sebagai makhluk yang sensitif terhadap persekitaran dengan sesungutnya yang berfungsi sebagai 'radar' dan mempunyai pemikiran yang strategik untuk menyelamatkan diri. Ia mahir bergerak mundur dan maju atau ke kiri dan ke kanan berkat bentuk badannya.

Ikan dianggap sebagai makhluk yang mempunyai semangat penyatuan tinggi kerana biasanya akan bergerak dalam kumpulan di dalam air.

Tafsiran yang diberikan terhadap sifat kambing ialah sebagai haiwan setia yang betapa jauh pun merayau pada waktu siang, ia akan tetap kembali ke kandang apabila menjelang senja.

Pasangan pengantin dinasihatkan supaya memerhati dan mengambil iktibar daripada sifat positif haiwan-haiwan tersebut demi mempastikan kerukunan hidup berumahtangga.

Sebelum acara Mengalehan Mangan, diadakan majlis merenjis pengantin mengikut adat Melayu Sumatera Timur kerana kebetulan pengantin lelaki daripada keturunan keluarga kesultanan Deli.

Berbeza sedikit dengan amalan Melayu di Malaysia, acara merenjis mengikut adat Deli yang saya perhatikan di Medan itu diikuti dengan pantun nasihat yang dilafazkan oleh janang (juru acara) setiap kali ahli keluarga merenjis.

Kedua-dua acara itu diadakan menjelang Zohor sementara sebelah pagi diadakan akad nikah yang didahului bacaan al-Quran.

Malam sebelumnya, berlangsung acara Malam Barinai (berinai) mengikut amalan adat perkahwinan Minangkabau.

Setiap satu daripada 10 jari tangan pengantin perempuan diinai dan janang akan berpantun dan berseloka memberi pelbagai nasihat.

Nasihat juga diberikan oleh tukang dendang yang bernyanyi dengan loghat Minang dengan iringan tiupan serunai yang sayu dan mengharukan.

Namun nasihat paling mengharukan ialah yang dilafazkan oleh ayahanda pengantin sendiri yang "gembira mendapat menantu" tetapi sedih dan terharu kerana akan "kehilangan anak kandungnya".

Dengan yang suara yang sebak dan penuh rasa terharu, Ir. Haji Mohd. Hoesni Samad berkata kepada puterinya: "Ada rasa kehilangan, kerana Fifi tidak akan sepenuhnya menjadi milik papa dan adik-adik lagi tetapi papa bersyukur kerana telah dapat menghantar anakanda ke tahap kehidupan berikutnya, kehidupan berumah tangga."

Ucapan nasihat itu menjadi lebih mengharukan kerana dia mengimbas kenangan terhadap Allahyarham isterinya.

Acara perkahwinan gadis keturunan Minang-Mandahiling dan jejaka keturunan keluarga kesultanan Deli itu berlangsung selama tiga hari tiga malam, penuh meriah dengan sulaman adat istiadat dari tiga daerah di Sumatera dan diserikan dengan unsur keagamaan.

Acara malam terakhir, resepsi untuk lebih 1,500 tetamu diadakan di sebuah dewan yang berlatar belakangkan pelamin senibina Minangkabau yang gilang gemilang.

Antara kesan yang saya peroleh daripada semuanya itu ialah, tradisi lisan masih subur di kalangan pengamal adat Minangkabau, Mandailing dan Melayu.

Kemeriahan acara perkahwinan tiga hari tiga malam itu tidak dapat dipisahkan daripada pidato dan ucapan nasihat yang melanjutkan tradisi lisan umat Melayu nusantara.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-2-2009 10:49 AM | Show all posts
Adat perpatih bakal didokumentasi

SEREMBAN 1 Feb. - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah institusi khusus bagi mendokumentasi segala aspek berhubung adat perpatih di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, institusi berkenaan berperanan merekod segala aktiviti tentang adat perpatih secara tersusun.

Jelas beliau, antara perkara-perkara yang perlu diberi tumpuan oleh institusi itu termasuk istiadat rasmi, pewarisan harta pusaka dan seni budaya.

''Bahan-bahan yang didokumentasi boleh dijadikan sumber rujukan rasmi oleh penyelidik adat perpatih serta orang ramai terutama generasi muda," ujarnya.

Mohammad Razi berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Karyawan Negeri Sembilan (Karyawan NS) Kali Kedua di Taman Budaya dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Warisan Seni Budaya, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Siri Neng Buah dan Presiden Karyawan NS, Roslee Mansor.

Dalam majlis yang sama, Mohammad Razi menerima kertas kerja cadangan penubuhan Akademi Karyawan NS yang diserahkan oleh Roslee.

Beliau memberitahu, selain istiadat rasmi, kerja-kerja pendokumentasian turut meliputi isu-isu berkaitan tanah adat.

''Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi perhatian yang serius tentang perkara tersebut dan beliau mencadangkan supaya dianjurkan forum atau seminar bagi membincangkan isu-isu tanah adat," jelasnya.

Kata Mohammad Razi lagi, institusi berkenaan diselia oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan tokoh-tokoh yang berpengetahuan luas tentang adat perpatih akan dijemput untuk memberi pandangan.

Dalam pada itu, beliau berharap, ahli-ahli Karyawan NS menggiatkan usaha menarik minat orang ramai di negeri ini terhadap kegiatan seni budaya melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Ujarnya, ahli-ahli Karyawan NS boleh memainkan peranan meningkatkan jati diri masyarakat melalui penghasilan karya-karya berkualiti.
Reply

Use magic Report

Post time 18-2-2009 10:05 AM | Show all posts
urang awak..meh sesamo pilih meh      








   
http://eforum3.cari.com.my/viewt ... %3D1&frameon=no
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-3-2009 08:05 AM | Show all posts
Pelihara kemuliaan Adat Perpatih

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

PERTIKAIAN siapakah sebenarnya yang harus memegang jawatan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba, Lembaga Waris Dua Carak, Luak Rembau masih terus menjadi perdebatan di kalangan rakyat Negeri Sembilan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan pada 26 Mac 2007 yang menolak penghakiman pernyataan fitnah ke atas Datuk Dr. Ismail Shamsuddin oleh 10 pemimpin Undang Luak Rembau.

Sebelas tahun sebelumnya, kedudukan Ismail sebagai Datuk Sedia Lela/Datuk Perba dilucutkan kerana tuduhan salah guna kuasa dan beberapa pertuduhan lain. Pelucutan itu membuatkan Ismail tidak dapat mewarisi pesaka Undang Luak Rembau ke-21.

Sebaliknya jawatan itu diberikan kepada Datuk Sedia Utama/Datuk Shahbandar Mohd. Sharip Othman yang dimasyhurkan pada 21 November 1998 dan masih memegang jawatan itu sehingga kini.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah dua tahun lalu yang berpihak kepada Ismail dengan sendirinya menggugat struktur institusi Undang Rembau ketika ini. Pelantikan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba yang dibuat selepas pemecatan Ismail dianggap tidak sah.

Begitu juga penyandang pesaka Undang yang dilantik oleh Datuk Sedia Lela/Datuk Perba sekarang juga tidak sah dari segi adat dan Perlembagaan negeri.

Sementelah Undang Rembau yang ada ketika ini dilantik oleh Datuk Sedia Lela/Datuk Perba yang mengambil alih jawatan selepas pemecatan Ismail. Mengikut adat, Datuk Sedia Lela/Datuk Perba tidak ada kuasa dan ditegah oleh adat melantik Undang.

Tugas Datuk Sedia Lela / Datuk Perba ialah setakat mencari "beneh" Undang untuk dikemukakan kepada Lembaga Tiang Balai. Yang berkuasa melantik Undang hanyalah dengan kebulatan Lembaga Tiang Balai (berempat di baruh dan berempat di darat).

Permasyhurannya juga hanya boleh dibuat oleh Datuk Gempa Maharaja dan bukan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba seperti yang berlaku dalam pelantikan Undang Rembau ketika ini.

Sedikit latar belakang mengenai apa yang berlaku dalam isu jawatan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba Luak Rembau itu menimbulkan tanda-tanya seolah-olah ada sesuatu yang tidak berlangsung mengikut adat.

Ia juga membuka perbincangan dan perdebatan yang tidak sihat, apatah lagi isu ini sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun.

Antaranya seperti yang dijelaskan Ismail, sama ada Undang Rembau dapat menjalankan tanggungjawab, kewajipan, amanah dan tugas masing-masing. Paling penting, adakah Luak Rembau hari ini ditadbir mengikut Adat Perpatih iaitu Perlembagaan Adat dan Istiadat Rembau, Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sembilan,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sewajarnya berdasarkan persetujuan antara Undang-Undang Luak dan Kerajaan, masalah Luak perlu diselesaikan di Luak masing-masing.

Begitu juga dalam isu di Rembau, Undang Rembau dan Lembaganya iaitu Lembaga Tiang Balai dan Lembaga Suku Nan 12 adalah satu-satunya pihak yang berkuasa di peringkat Luak untuk menyelesaikannya.

Perkara ini jelas Ismail, turut ditekankan oleh kerajaan negeri atau Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang menasihatkan Undang Rembau menyelesaikan perselisihan. Malangnya sehingga kini, Undang Rembau selaku Ketua Pentadbir Adat dan Istiadat Luak mengambil sikap "seolah-olah tidak peduli".

"Maka, penyelesaian kini sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri,'' tegasnya.

Ini kerana Undang tidak lagi memiliki kuasa mutlak sebaliknya terikat dengan Perlembagaan. Antaranya seperti diperincikan dalam Bahagian 1, Seksyen 14 dan 15 Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.

Sewajarnya dengan pengalaman, kepakaran dan ruang termasuk undang-undang, kerajaan negeri perlu bijak menangani isu adat yang sedang berbangkit.

Ia juga selaras dengan perbilangan adat yang berbunyi: "Kena di mata jangan dipecengkan, kena di perut jangan dihempiskan, kalau diukur sama panjang, kalau dikerat sama pendek, kalau ditimbang sama berat."

Bukan bermaksud untuk mempertahankan jauh sekali berjuang atas kepentingan peribadi sesiapa. Sebaliknya pendedahan ini adalah atas dasar rasa hormat dan menjunjung tinggi kemuliaan Adat Perpatih.

Dalam sejarah, tidak ada mana-mana tamadun di dunia yang memiliki keunikan adat seperti yang diwarisi oleh Negeri Sembilan.

Selama lebih 600 tahun, Adat Perpatih diamalkan sesuai dengan perbilangan: "Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah SWT."

Bagi melingkungi Perlembagaan negara dan negeri, perbilangan itu dipanjangkan yang berbunyi: "Dua sejalin, tiga sepilin. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung."

Jika ditanya kepada generasi muda hari ini, tidak ramai yang benar-benar memahami Adat Perpatih waima di kalangan anak watan Negeri Sembilan sendiri.

Di kalangan orang luar pula pemahamannya lebih parah. Adat Perpatih lebih sinonim dinilai sebagai memberi hak dan keistimewaan yang besar kepada kaum wanita.

Justeru adalah tidak wajar untuk Adat Perpatih diburukkan lagi dengan isu perebutan seperti ini yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan peraturan adat. Pertelingkahan yang berpanjangan memberi implikasi yang buruk kepada Institusi Undang/Adat dan kerajaan.

Masyarakat akan hilang keyakinan kerana keputusan yang tidak tepat, wajar dan adil dalam beberapa peristiwa dan kepincangan adat yang berlaku sebelum ini.

Justeru, peluang dalam berdepan dengan kemelut Luak Rembau ketika ini perlu direbut dalam mengembalikan semula kepercayaan masyarakat.

Pastinya perebutan jawatan Datuk Sedia Lela, Lembaga Waris Dua Carak ini tidak mahu diakhiri dengan penyelesaian yang membelakang adat seperti menceroboh Balai.

Amat memalukan sekiranya persengketaan ini dibiarkan berpanjangan, lebih banyak cacat-cela penyandang jawatan di Luak Rembau bakal ditelanjangkan.

Sedangkan ia boleh diselesaikan dengan campur tangan Datuk Seri Utama dengan perundangan adat sedia ada. Seharusnya kepentingan rakyat, luak, negeri dan negara diberikan keutamaan berbanding kepentingan peribadi.

Ia juga mematuhi perbilangan adat yang menyebut: "Sosa ikat kebolat, sosa bolat ke tebing, sosa tebing, tebing runtuh."
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-5-2024 06:42 PM GMT+8 , Processed in 0.508341 second(s), 34 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list