Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi pada hari ini membenarkan dua pemilik Kelab Komedi Crackhouse memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menarik balik lesen perniagaan kelab itu.
Mahkamah turut membenarkan, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram untuk mencabar tindakan DBKL yang tidak membenarkan mereka memulakan sebarang perniagaan di ibu kota, seumur hidup. Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili kedua-dua pemilik kelab tersebut ketika ditemui pemberita berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh membenarkan permohonan anak guamnya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (ketika itu), Datuk Seri Mahadi Che Ngah yang dinamakan selaku responden. Sangeet berkata, pada masa sama pihaknya menarik balik tindakan undang-undang itu terhadap tiga lagi responden iaitu bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan. Beliau berkata, tindakan menarik permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap ketiga-tiga responden itu dibuat kerana keputusan membatalkan lesen perniagaan berkenaan dibuat oleh datuk bandar. "Pengumuman itu tidak syak lagi diterbitkan dalam akhbar yang dibuat oleh timbalan menteri (ketika itu) tetapi keputusan itu bukan dibuat olehnya (timbalan menteri)," katanya. Peguam itu berkata, dalam prosiding pengurusan kes itu hari ini, Amarjeet kemudian menetapkan pengurusan kes lanjut pada 6 Jun hadapan. Kedua-dua pemilik kelab komedi itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 November tahun lalu dengan memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang. Mereka juga memohon perisytiharan bahawa keputusan untuk tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup, malah di bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan. Turut dimohon, satu perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan itu atas alasan mereka mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan perniagaan dengan lesen yang sah dalam bandar raya ini. Pada 22 Julai tahun lalu, Mohamad Rizal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan jenayah iaitu membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil 'Rizal van Geyzel, Instagram 'rizalvangeyzel' dan TikTok 'rizalvangeyzel', antara 4 hingga 6 Julai 2022. Mahkamah menetapkan pada 31 Mei ini bagi keputusan representasi kedua Mohamad Rizal untuk menggugurkan tuduhan berkenaan. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT
Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet
31-5-2023 11:39 AM GMT+8 , Processed in 0.169882 second(s), 30 queries .
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.