HANYA terletak bersebelahan dan jarak tidak sampai 4 kilometer, dua pulau ini mempunyai zon waktu yang besar. Bukan tiga, lima atau 12 jam, tetapi 23 jam! Jurang waktu yang sangat ketara itu membuatkan keunikan Pulau Big Diomede dan Little Diomede yang terletak di sempadan Rusia-Amerika Syarikat menjadi trending dalam media sosial. Jika dilihat, kepulauan berbatu yang dipisahkan oleh Lautan Pasifik itu menghubungkan penghuninya hanya dengan jambatan ais yang terbina ketika musim sejuk.
Apa yang lebih menarik, pengunjung boleh merentasi kepulauan dan melalui zon masa yang berbeza, tak ubah seperti terowong masa untuk kembali ke zaman hadapan atau sebaliknya. Keunikan kepulauan itu kembali tular selepas video pendek yang dikongsikan pengguna aplikasi Tiktok menarik perhatian warganet seluruh dunia. Rakaman video berkenaan membuatkan ramai takjub dengan kewujudan kepulauan yang dipisahkan oleh Garis Tarikh Antarabangsa dan tidak berkongsi hari yang sama. Senang cakap, seseorang boleh merentas sempadan Rusia atau Amerika Syarikat itu hanya dengan berkayak mahupun berenang. Menarik bukan? Bagi yang tertanya-tanya mengenai siapakah penghuni pulau batu tersebut? Difahamkan, masih terdapat penduduk asal yang menetap di Little Diomede, manakala Big Diomede menjadi markas tentera. Menurut amusingplanet.com, Big Diomede mencatat masa lebih awal sehingga diberikan jolokan pulau semalam, manakala Little Diomede dipanggil pulau esok. Kepulauan Diomede yang terletak di tengah-tengah Selat Bering antara daratan utama Alaska dan Siberia itu menjadi sempadan antarabangsa kedua negara berpengaruh tersebut. Jika diselidik sejarah pulau-pulau tersebut, kepulauan itu dinamakan sempena tokoh Saint Diomede dan ditemui oleh seorang pelayar warga Denmark-Rusia, Vitus Bering pada 16 Ogos 1728. Dari segi struktur geografinya, kedua-dua pulau tersebut mempunyai puncak yang rata, sisi curam dan sangat terpencil selain terdedah dengan risiko laut bergelora. Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, pada asalnya kepulauan itu didiami puak Yupik Eskimo sejak 3,000 tahun terdahulu dan dikatakan orang Eropah pertama yang menjejakkan kaki ialah Semyon Dezhnyov pada tahun 1648. Pada tahun 1867, Amerika Syarikat membeli Alaska termasuk Little Diomede sekali gus mewujudkan sempadan baharu antara kepulauan tersebut. Menarik bukan? Untuk informasi, sebenarnya untuk melepasi sempadan Selat Bering itu tidak dibenarkan secara sah dan dikatakan boleh direntasi melalui jambatan ais, berkayak mahupun berenang, namun itu dikatakan hanya teori semata-mata. Sumber : sinarplus |
ADVERTISEMENT