Pelawak Jepun mencetuskan kemarahan ramai apabila mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi. Memetik South China Morning Post, Takashi Okamura pada hujung minggu lalu berkata, pandemik Koronavirus yang melanda hampir di seluruh dunia ketika ini membuka peluang kepada industri pelacuran.
Katanya, inilah masanya untuk 'memaksa' gadis muda berkhidmat dalam industri kotor itu. Menurut laporan, Okamura membuat kenyataan itu dalam rancangan radio 'All Night Nippon' sebagai respons kepada keluhan pendengar yang mengadu tidak dapat mengunjungi rumah urut atau tempat lain di daerah lampu merah (kawasan pelacuran) kerana diarah untuk menghentikan operasi berikutan penularan Covid-19. "Simpanlah duit dari sekarang kerana nanti mesti ramai gadis cantik 'masuk industri pelacuran' apabila krisis ini berakhir," katanya.
Berikutan keceluparan Okamura, stesen radio Nippon Broadcasting System pada Isnin membuat permohonan maaf di laman sesawangnya. Menurut kenyataan itu, mereka menyifatkan Okamura tidak peka dengan perkembangan terkini pandemik berkenaan selain tidak menghormati wanita. Manakala, Okamura menerusi kenyataan dikeluarkan agensi pengurusannya, Yoshimoto Kogyo Holdings berkata, dia sangat menyesali perbuatannya itu. - CARI
|
ADVERTISEMENT