Menurut penyelidik Australia, anggapan bahawa ubat berasaskan herba selamat kerana ia telah digunakan sejak berkurun lamanya mungkin boleh menggundang risiko kepada pengguna.
Memetik laporan agensi berita China Xinhua, penyelidik Universiti Adelaide memaklumkan terdapat sebahagian ubat herba popular yang digunakan sejak turun temurun di Australia mengandungi bahan toksik namun masih tetap diamalkan kerana beranggapan ubat berkenaan bermanfaat. Ketua Penyelidik, Prof Roger Byard berkata dalam satu kenyataan, sejak kebelakangan ini didapati pesakit yang menggunakan sebahagian rawatan berasaskan herba terdedah dengan risiko. “Toksik yang disebabkan penggunaan beberapa ubat herba oleh masyarakat selalunya tidak dilaporkan.” Untuk mengelakkan sebarang komplikasi atau masalah pada masa akan datang, agensi Pentadbiran Barangan Terapeutik (TGA) perlu mensyaratkan pengeluar ubat herba di Australia menjalani ujian sampel terlebih dahulu sebelum memasarkan produk keluaran mereka, tambah Byard.
Sementara itu, Dr. Ian Musgrave dari jabatan farmakologi pula berkata, kebanyakan pesakit tidak mengambil berat untuk mengetahui kandungan yang terdapat dalam ubat herba kerana beranggapan ia selamat kerana telah diamalkan sejak sekian lama. “Terdapat ubat herba tradisional tidak mematuhi peraturan ditetapkan Australia. Dalam kes tertentu bahan yang terdapat dalam ubat berkenaan tidak disenaraikan atau terdapat dalam rekod laman web atau pada label."- CARI |
ADVERTISEMENT