Gombak: Tiga penjenayah yang ditembak mati awal pagi tadi di Selayang Jaya, Selayang, di sini adalah lelaki etnik Rohingya dipercayai aktif merompak sejak 2011. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, ketiga-tiga suspek bertindak agresif ketika ditahan anggota polis yang sedang membuat rondaan.
Menurutnya, anggota peronda terpaksa melepaskan tujuh das tembakan selepas suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis namun hanya mengenai pada kenderaan peronda. "Selesai tembak menembak, anggota peronda mendapati terdapat tiga lelaki berlumuran darah dan sudah meninggal dunia serta menemui dua pucuk pistol jenis revolver dalam kenderaan terbabit.
"Dua daripada suspek mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala dalang utama tidak mempunyai sebarang pengenalan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini. Hussein berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 kes pecah rumah dan samun sepanjang tahun ini di enam negeri membabitkan kumpulan yang diberi nama Geng Rantau Fiesta itu. Katanya, polis percaya kumpulan itu terbabit dengan sekurang-kurangnya 27 kes pecah rumah dan samun di Selangor sepanjang tahun ini membabitkan kerugian RM1.3 juta. "Suspek utama mempunyai 12 rekod jenayah dan pernah ditahan pada 2016 atas kesalahan pecah rumah dan dibebaskan pada 2017 malah menaik taraf melakukan rompakan menggunakan senjata api. "Kumpulan itu dipercayai beroperasi dengan tiga ke empat anggota dan pihaknya sedang mengesan saki-baki suspek jika ada. Kes terbaru di Batang Kali, Hulu Selangor membabitkan kehilangan tiga utas jam Rolex dan dua utas jam Hublot bernilai RM445,000 pada 8 Disember lalu," katanya. Menurutnya, tiga suspek berusia 30-an itu menyasarkan kediaman tidak berpenghuni sebelum memecah masuk untuk mencuri barang berharga seperti jam tangan mewah. Hussein berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana kumpulan itu menjual hasil rompakan bagi mengesan barangan yang pernah dicuri sebelum ini. "Kita berjaya menumpaskan kumpulan samun warga Rohingya yang dipercayai aktif di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang. "Kumpulan ini memang dalam buruan polis dan ketika terserempak dengan pihak polis, kita percaya mereka sedang merancang untuk melakukan rompakan berdasarkan peralatan ditemui," katanya. Hussein memberitahu, ketiga-tiga suspek terbabit dipercayai tinggal sekitar Batu Caves dan Selayang, di sini aktif melakukan kegiatan jenayah terutama di kawasan Hulu Selangor. Katanya, polis sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Kanun bagi mengenalpasti modus operandi sebenar dan mengesan saki-baki suspek terbabit. Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai warga asing di Selayang, di sini, awal pagi tadi. Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT