HANOI: Punca seorang lelaki Vietnam mengalami sakit kepala teruk dan kehilangan penglihatan sejak lima bulan lalu akhirnya terjawab apabila doktor menemui sepasang penyepit atau chopstik dalam tengkorak kepalanya.
Lelaki yang tidak didedahkan identiti dan nama itu dimasukkan ke Cuba Friendship Hospital di bandar Dong Hoi, wilayah Quang Binch, selepas mengadu sakit kepala, hilang penglihatan dan cecair keluar daripada hidungnya. Ketika ditanya, lelaki itu tidak tahu puncanya, namun selepas imbasan tomografi berkomputer (CT) dilakukan, doktor mendapati terdapat dua objek asing yang menonjol dari hidung ke dalam otaknya. Semasa pemeriksaan rapi dilakukan, objek tersebut adalah sepasang penyepit. Lelaki itu yang ditanya bagaimana penyepit itu masuk ke dalam tengkoraknya, menyatakan pernah mengalami satu kejadian lima bulan lalu.
Katanya semasa keluar minum, dia terbabit dalam pergaduhan hingga menyebabkan dimasukkan ke hospital. Doktor mengesyaki lelaki lain menusuk penyepit ke kepalanya semasa pergaduhan berlaku, namun lelaki itu tidak mengingatinya. Selepas mempertimbangkan semua pilihan, pasukan perubatan melakukan pembedahan endoskopik melalui hidung dan mengeluarkan sepasang penyepit yang patah itu. Menurut doktor, Nguyen Van Man, Ketua Jabatan Neurosurgeri di hospital tersebut, lelaki berusia 35 tahun itu didapati stabil dan dibenarkan keluar ke hospital selepas keadaanya didapati pulih sepenuhnya.-CARI Sumber: Utusan |
ADVERTISEMENT