Seorang gadis bertindak berani menegur wanita berjubah hitam yang didakwa membuang sampah ke sungai. “Kenapa buang sampah dalam sungai? Betul atau salah, buang dalam tu?” soalnya.
Namun wanita itu memperlekehkan tegurannya dengan mengeluarkan kata-kata yang sarkastik. “Ye ke? Tak ada tulis pun. Dia (sungai) sakit ke? Benda tu nyawa ke? Kalau aku lempang muka kau kat sini karang, apa pun tak dapat. “Kau nak ceramah kat aku, pergi ceramah kat orang lain. Dah blah (beredar), aku lempang karang,” kata pelaku itu yang kemudian menghalaunya. Gadis tersebut kemudian memberi amaran untuk membuat laporan polis sekiranya wanita itu benar-benar mahu menampar mukanya.
“Pergilah buat laporan polis, pergilah! Karang aku lempang kat sini,” ujar wanita itu dengan angkuh. Gadis dikenali sebagai Syera itu berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menunggu seorang rakan berdekatan stesen LRT Pasar Seni di Kuala Lumpur, pada Ahad. Dia kemudian melihat seorang wanita memegang satu plastik sampah sambil memerhati keadaan sekeliling. “Dia ingat tak ada orang nampak dia. Jadi saya rakam, manalah tahu dia buang sampah tu ke sungai. Dan sangkaan saya betul, dia memang betul-betul buang sampah ke sungai. “Saya kemudian pergi dekat dia kerana mahu menegur perbuatan dia itu adalah salah dan minta dia supaya membuang sampah ke dalam tong sampah pada masa akan datang. “Tapi dia kemudian bertindak agresif dan dia mula mengugut untuk menampar muka saya,” katanya kepada mStar. Bagaimanapun gadis berusia 26 tahun itu bersyukur kerana tiada kekerasan berbentuk fizikal berlaku antara mereka. “Saya kemudian beredar kerana tidak berbaloi untuk bertengkar dengan orang yang bodoh dan saya tidak mahu mencetuskan kekecohan. “Dia tetap melemparkan kata-kata kesat sewaktu saya meninggalkan lokasi itu. Menurut Syera, dia sedaya-upaya untuk melakukan perubahan yang lebih baik melalui tegurannya itu, namun terkilan kerana tidak dapat berbuat demikian. Dia pada mulanya mahu melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum memuat naik video di TikTok namun tidak pasti sama ada perbuatan wanita itu mendapat perhatian pihak berkuasa dan berharap perkongsiannya menjadi tular. “Itu sahaja yang dapat saya lakukan untuk menyampaikan mesej dan kesedaran bahawa masih ada orang yang macam ni, tetapi mereka tidak mengendahkan teguran orang lain. “Anda tidak perlu menjadi aktivis untuk prihatin terhadap alam sekitar. Anda hanya perlu menjadi manusia yang bertanggungjawab... jangan buang sampah merata-rata. “Jagalah alam sekitar dan saling mengingatkan bahawa dengan secebis sampah boleh memusnahkan kehidupan termasuk haiwan dan tempat tinggal,” katanya lagi. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|