Ahmad Iqbal Zulkefli belum berputus asa mahu menawan hati Inspektor Sheila walaupun anggota polis itu hairan mengenai hasratnya itu. Iqbal, 29, berkata, dia juga sanggup untuk mandi bunga dan 'berubat' sekiranya cintanya sekali lagi ditolak oleh wanita yang mendapat perhatiannya.
"Kalau kali ini ditendang lagi, agaknya saya perlu pergi berubat dan mandi bunga," katanya menerusi komen di ruang komen hantaran artikel berhubung Sheila di Facebook. Sebelum ini, Sheila atau Sheila Sharon Steven Kumar, 35, meluahkan rasa pelik selepas terbaca luahan Iqbal menerusi temu bual bersama mStar meluahkan hasrat untuk berkenalan lebih dekat dengannya.
Sheila turut tertanya-tanya mengapa dia menjadi pilihan usahawan itu memandangkan Iqbal berkulit putih manakala dia pula berkulit hitam. Wanita itu juga memberitahu tidak mengenali Iqbal secara peribadi namun pernah terbaca kisahnya bersama usahawan sensasi Datuk Seri Vida. Sebelum ini Iqbal kata Inspektor Sheila mempunyai ciri-ciri kewanitaan yang membuatkan hatinya tertarik.
Menurutnya, dia juga kini masih kesunyian dan tiada kekasih, jadi tidak salah sekiranya mahu mencuba nasib untuk mencari teman hidup. "Sejak nama dia jadi viral saya juga melihat perkongsiannya di media sosial. Saya jadi tertarik dengannya. Ramai yang bercakap tidak elok tentang dia, itu yang buat saya sedih. "Saya sukakan wanita yang garang... lagi garang, lagilah saya suka. Namun saya juga percaya dia seorang yang manja," ujarnya.
Pada September 2021, Iqbal pernah memaklumkan bakal mendirikan rumah tangga bersama Vida atau Hasmiza Othman, 52. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila hubungan mereka tidak mendapat restu oleh anak Vida iaitu Cik B atau Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 18. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|