Persembahan pertama Tapaw di pentas akhir BMB. BUKAN juara, namun Faizal Ismail (FBI) menganggap prestasi yang melayakkan anak didiknya ke pentas akhir Bintang Mencari Bintang sebagai suatu kemenangan buatnya. Anak didik FBI, Tapaw yang dianggotai Shah Rizal Sulaiman dan Khairul Faiz Sulaiman diumumkan sebagai pemenang tempat keempat bagi program realiti BMB musim pertama, semalam. Pada awalnya, siapa menyangka, seorang penyampai radio berjaya meletakkan diri setara dengan pelawak-pelawak otai tanah air seperti Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Sabri Yunus. Mengangkat idea lanun, FBI berserta Tapaw berjaya mencuri tumpuan penonton dan juri. Tapaw tampil dengan persembahan yang cukup meriah apabila dua buah kapal di bawa masuk ke dalam Stadium Melawati Shah Alam dan diiringi lebih 20 penari yang menjadi lanun. “Saya kagum dengan usaha anak didik anda (FBI) dan saya sendiri kagum dengan kebolehan anda. Saya tak melihat ia sebagai satu pertandingan tapi satu persembahan,” kata Ogy. Kata-kata Ogy itu nyata membuatkan FBI terharu sehingga menitikkan air mata. “Saya susah sebenarnya (menangis)...bukan hanya menangis di TV, di luar TV pun susah tapi tak tahu kenapa malam ini, perasaan itu...Saya rasa mungkin kerana sudah 14 minggu saya melatih Tapaw dan Ajo. Mereka pun selalu kena marah dengan saya. “Pada sketsa kedua itu, saya rasa betul ke apa yang saya buat? Saya rasa macam saya bermimpi. Saya tak sangka saya boleh melalui saat-saat ini. Saya rasa tersentuh mendengar komen Ogy. Dia sangat berbangga dengan bakat saya, dia macam tak percaya,”katanya kepada Sinar Harian Online. Dalam sidang media selepas konsert tamat, FBI dipuji oleh Afdlin dan Harun di mana masing-masing tidak menyangka FBI mampu tampil dengan idea yang hebat seperti itu. Tempat keempat merupakan kemenangan buat FBI dan Tapaw “Apabila saya tengok idea Tapaw, idea mereka bagus. Kenapa saya tak terfikir macam itu? Dan siapa sangka, FBI ini menyanyi bagus dan melawak pun bagus?,” kata Adlin. Harun pula akui menghormati kebolehan FBI yang mampu bersaing di pentas BMB. “Saya hormati FBI kerana dia seorang penyampai radio tapi sangat kreatif. Saya ingat dia hanya boleh bercakap tapi visual pun dia bagus,” katanya. Afdlin sempat bergurau dengan mengatakan, “jadi, kami berharap, dia berhenti radio cepatlah ya.” Mengulas mengenai maklum balas yang diterima mengenai dirinya, FBI akui berbangga dan menghormati komen-komen tersebut. Tapaw dan FBI wajar terima pujian. “Saya tak pernah melibatkan diri dalam bidang ini (komedi) secara rasmi. Tapi apabila mereka memberi komen yang sebegitu positif terhadap diri saya, saya sangat berbangga dan menghormati komen mereka kerana saya masuk ini pun bukan pilihan, apatah lagi digabungkan dengan mereka yang sudah dikenali. “Pada awal saya dilamar, memang saya gerun. Saya sendiri gerun dengan mereka. saya jenis orang yang menukarkan mustahil itu kepada kenyataan. Berada dalam kalangan sifu yang hebat...wow! Itu adalah satu kemenangan untuk diri saya, malam ini (malam tadi),” katanya. Menyentuh soal persembahan kedua Tapaw bersamanya malam tadi, FBI akui ia menelan kos yang besar namun perkara itu tidak menghalangnya daripada melaksanakannya. “Semua itu adalah kerjasama semua pihak termasuk penari yang menjadi lanun dan juga pihak produksi yang menunaikan permintaan saya untuk buat semua benda ini. Walaupun mereka kata betul ke ni? Guna banyak ni. “Tapi saya kata tak apa. Saya belasah. Sebab yang penting Malaysia akan tengok satu persembahan yang wow! Alhamdulillah. Saya berpuas hati. Walaupun mendapat tempat keempat tapi saya rasa saya dah menang.,” katanya.
|
ADVERTISEMENT