Sejarah terlakar dalam dunia bola sepak dunia apabila buat julung kalinya, negara Timur Tengah dan negara Islam, Qatar menjadi tuan rumah kejohanan sukan berprestij empat tahun sekali tersebut. Pembukaan Piala Dunia 2022 di Qatar baru-baru ini juga telah menarik perhatian dunia. Acara yang berlangsung menjadi topik perbualan popular di media sosial terutamanya mengenai bacaan ayat suci Al Quran. Acara pembukaan dimulai dengan tayangan filem digital mengenai peradaban kuno padang pasir bersama paus yang terbang di langit. Aktor terkemuka, Morgan Freeman dan Ghanim Muftah menjadi narator dalam acara tersebut.
Ia mengenai kisah kemanusiaan dan penyatuan. Ghanim Muftah kemudian memulakan bacaan Surah Al Hujuraat ayat 13 di upacara pembukaan Piala Dunia 2022.
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal,” makna ayat tersebut. Ini juga merupakan kali pertama dalam sejarah, bacaan Al Quran berkumandang dalam acara pembukaan Piala Dunia dibawah kelolaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Terbaru, satu video dakwah di Qatar menjadi tumpuan ramai kerana kelembutan dan cara berdakwah yang ditunjukkan oleh seorang lelaki. Dalam video yang dikongsikan Tiktok dan juga di Instagram Ustaz Ahmad Dasuki, kelihatan seorang lelaki berpakaian tradisi Arab sedang berdakwah dengan pasangan pelancong asing yang sedang bersiar-siar. Lelaki tersebut memberitahu makna azan yang sedang berkumandang dan juga menceritakan tentang keindahan Islam. Pasangan pelancong itu kelihatan tertarik mengenai Islam dan turut sama masuk ke dalam masjid dan diajar mengambil wuduk. Video tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen. Terdahulu, Qatar juga menyediakan sabda Rasulullah S.A.W di setiap sudut bagi mempromosikan keindahan Islam dan bilik-bilik hotel mempunyai kod bar yang memperkenalkan ajaran Islam, Hadith, dan definisi mudah akidah Muslim. Qatar menukar bilal masjid dan membawa masuk mereka yang bersuara indah untuk laungan azan. Mikrofon juga diletakkan di stadium untuk laungan azan. Pusat Pengunjung Qatar juga menyediakan pasukan seramai 2,000 orang untuk menyeru kepada Islam, di mana mereka akan memperuntukkan 10 kereta bergerak dan 10 khemah khusus untuk tujuan tersebut. Pameran Islam turut dianjurkan dalam pelbagai bahasa oleh Kementerian Wakaf, selain ketersediaan tempat solat dan tempat berwuduk di stadium buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia. FIFA juga mengesahkan bahawa tiada penjualan alkohol di lapan buah stadium yang menganjurkan 64 perlawanan. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|