Penyampai radio dan pengacara Faizal Ismail atau FBI lulus permohonan tauliah mengajar dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Ia selepas Faizal, 46, hadir bagi menjalani sesi temu duga Tauliah Mengajar dari Bahagian Pengurusan Dakwah Jais pada awal Ogos lalu. Faizal berkata, tauliah mengajar itu berkuat kuasa pada 22 September lalu hingga 30 Jun 2025. "Alhamdulillah terima perkhabaran gembira ini di Tanah Suci Makkah. Syukur tak terhingga. Selepas melalui dua proses penilaian secara teori dan lisan, permohonan Tauliah Mengajar dari Jais lulus.
"Namun, perlu saya akui ia bukanlah satu proses yang mudah kerana kedua-dua penilaian mempunyai cabaran yang tinggi tanpa sebarang prejudis. Apa pun semuanya atas kehendak dan izin Allah SWT jua," katanya. Menurut Faizal, dia tidak mengajar ilmu khusus dalam agama.
"Tauliah mengajar yang ditawarkan kepada saya adalah kategori D4 iaitu Motivasi-Pembangunan Insan. Jadi, saya bukanlah mengajar ilmu khusus dalam agama kerana saya juga masih perlu banyak belajar. "Namun, kategori motivasi seperti yang tertera di dalam surat tawaran akan memudahkan pergerakan saya untuk memenuhi hajat pihak yang mahu menjemput untuk sama-sama berkongsi manfaat.
"Terima kasih tak terhingga kepada Jais atas penganugerahan tauliah ini. Jais turut menggalakkan supaya lebih ramai mereka yang mahu aktif dalam dunia dakwah agar memohon pentauliahan supaya tidak timbul perkara yang berbangkit di kemudian hari. Insya-Allah moga ini menjadi bukti sesiapa jua boleh memohon asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|