Kuala Lumpur: "Menjadi perokok tegar menyebabkan saya kehilangan nikmat yang amat mahal iaitu kehilangan peti suara dan keupayaan untuk bertutur seperti manusia biasa.
"Bertutur menggunakan alat khas yang dipanggil electrolarynx menyebabkan suara yang dikeluarkan seakan robot," luah bekas perokok tegar Shamsul Rizal Ramli. Lelaki berusia 46 tahun ini pernah disahkan mengidap kanser tekak tahap tiga sehingga peti suaranya terpaksa dibuang.
Menceritakan kisah dia bermula sebagai perokok tegar, Shamsul yang juga Presiden Persatuan Laryngectomee Malaysia berkata, dia mula kenal rokok seawal usia 13 tahun kerana pergaulan bersama rakan sebaya. Katanya, lama kelamaan merokok mula dianggap kebiasaan sebaik tinggal di asrama dan universiti kerana di luar kawalan ibu bapa. "Apabila mula bekerja, saya mula menjadi 'heavy smoker' dengan anggaran dua hingga tiga kotak sehari dengan perbelanjaan dikeluarkan kira-kira RM300 hingga RM400 sebulan. "Keadaan ini hanya berkurangan apabila saya bertukar profesion sebagai seorang guru namun masih kekal dengan sekotak rokok sehari," katanya kepada Harian Metro. Katanya, awal 2014 dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan suara yang menjadi semakin perlahan sehingga sukar untuk menjerit. Beliau berkata, keadaan itu bertukar lebih serius menyebabkan suaranya bertukar menjadi serak namun ia dianggap perkara biasa kerana merokok. "Pada pertengahan 2014 suara semakin teruk dan memutuskan untuk berjumpa dengan pakar di sebuah hospital swasta sebelum disahkan ketumbuhan pada bahagian dalam tekak. "Pemeriksaan lanjut di sebuah hospital kerajaan menerusi pemeriksaan biopsi ternyata ketumbuhan di tekak adalah kanser peti suara tahap tiga," katanya. Shamsul berkata, keputusan itu bukan sesuatu yang boleh diterima dengan mudah kerana beranggapan mereka yang merokok lebih kuat tidak berdepan masalah kesihatan sepertinya. Katanya, kemuncak kepada kanser itu berlaku apabila dia diserang sesak nafas dan pemeriksaan lanjut mendapati ketumbuhan semakin membesar dan hampir menutup salur pernafasan. "Doktor tiada pilihan lain kecuali melakukan pembedahan membuang keseluruhan peti suara. "Akhirnya pada Oktober 2014 saya menjalani pembedahan membuang peti suara atau Total Laryngectomy dan alhamdulillah kanser berjaya dibuang. "Kini saya baru selesai menjalani pembedahan memasang peti suara tiruan yang membolehkan saya bertutur lebih baik berbanding elektrolaryng yang mengeluarkan suara seakan robot," katanya. Tambahnya, keputusan memperkenalkan akta baharu anti tembakau memang tepat supaya generasi akan datang tidak didedahkan dengan sebarang produk tembakau atau rokok elektronik. Katanya, tiada istilah bertukar rokok tembakau kepada 'vape' dengan alasan mahu mengurangkan ketagihan merokok. "Kesihatan adalah nikmat paling mahal yang perlu dijaga dengan baik kerana hanya kekesalan saja yang boleh diungkapkan sehingga keadaan menjadi kritikal," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
Orix replied at 2-8-2022 12:31 PM
3 kotak sehari ya robbi
ADVERTISEMENT