Oleh : LTS
Panggung wayang merupakan tempat beristirehat dan juga salah satu tempat untuk pasangan kekasih meluangkan masa bersama. Sejak beberapa tahun dulu, pihak pengurusan panggung wayang telah menyediakan kerusi berkembar atau 'couple seat' bagi memberikan “privasi” dan keselesaan kepada pasangan kekasih ketika menonton filem. Namun bayaran untuk “couple seat” lebih tinggi berbanding tempat duduk biasa.
Akan tetapi, penyediaan kerusi berkembar telah menarik perhatian sebilangan muslim yang memandang serius terhadap kecenderongan untuk melakukan maksiat dikalangan pasangan kekasih yang menggunakan tempat duduk berkembar itu. Dalam ajaran Islam, pasangan bukan mahram yang tidak mempunyai ikatan sah adalah dilarang berada ditempat yang mengundang kepada perkara-perkara maksiat dan mendatangkan fitnah.
Berdasarkan Portal Perak News, rangkaian panggung wayang Lotus Five Star Cinemas (LFS) di sekitar Seri Iskandar, Perak telah mengambil langkah proaktif dalam usaha membendung masalah sosial dengan mempamerkan larangan menggunakan kerusi berkembar atau ‘couple seat’ bagi pasangan bukan mahram yang tidak mempunyai ikatan sah.
Namun, jika anda masih berkeinginan untuk membeli tiket bagi kerusi berkembar, anda perlu memenuhi dua syarat yang telah ditetapkan :
1) Pasangan yang ingin menggunakan kerusi berkembar haruslah merupakan sepasang suami isteri
2) Semasa membeli tiket wayang harus tunjuk sijil sah perkahwinan.
Menurut laporan Portal Perak News juga, pengurus panggung Lotus Five Star Cinema (LFS), Siti Hana menjelaskan peraturan tersebut telah ditetapkan oleh pihak pengurusan atas nasihat Majlis Daerah Perak Tengah dan ianya telah pun mula berkuatkuasa sejak rangakaian panggung itu mula beroperasi dua tahun lalu.
Setiap kaunter tiket telah diarah mempamerkan notis yang jelas tentang peraturan berkenaan, tujuannya juga jelas iaitu untuk mencegah gejala maksiat yang berlaku di panggung wayang, malah untuk menjaga imej kesucian agama Islam.
Peraturan berkenaan hanya untuk pasangan Muslim dan tidak dikenakan pada pasangan bukan Islam.
Sehubungan itu, CARI Infonet membuat tinjauan di sekitar Lembah Klang untuk mendapat reaksi orang ramai mengenai isu tersebut. - CARI Infonet.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|