Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap seorang pembantu restoran atas dua pertuduhan memiliki gambar dan video lucah dalam kad memori serta telefon bimbit dua tahun lalu.
Majistret Nadia Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas R Pravin Menon, 49, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau enam bulan penjara atas pertuduhan memiliki 53 kandungan lucah dalam satu kad memori, manakala bagi kesalahan memiliki 61 kandungan lucah dalam sebuah telefon bimbit, lelaki itu didenda RM3,500 atau enam bulan penjara.
Tertuduh membayar denda itu. Pravin Menon didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kafe di Wisma Cosway, Jalan Raja Chulan di sini pada 10.30 pagi 27 Ogos 2020, mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya. Terdahulu, Pravin Menon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana ini adalah kesalahan pertama, selain memohon maaf atas kesilapan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya. Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Fazril Sani Mohamed Fadzil memohon mahkamah mengenakan hukuman mengikut trend kesalahan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. Sumber: Bernama
|
ADVERTISEMENT