Datuk Onn Hafiz Ghazi secara sinis menyatakan rasa kagum dengan lakonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengeksploitasi bencana banjir di Johor untuk meraih kepentingan politik peribadinya.
Exco Kerajaan Negeri Johor itu juga melahirkan ‘rasa teruja’ beliau dengan kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mempersoalkan kompetensi kerajaan negeri membantu mangsa-mangsa banjir. ”Sekarang dia (Syed Saddiq) nak tunjuk yang dia masih juara rakyat dengan harapan rakyat sudah lupa dengan gelagat dan kelaku mereka yang memang suka ‘menanam tebu di bibir mulut’.
”Kemahiran untuk mengeksploitasi pemikiran rakyat Malaysia terutamanya anak muda berlaku sebelum PRU-14 lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook. Sedangkan, katanya, Syed Saddiq telah membuat pelbagai janji sebelum pilihan raya umum seperti pendidikan percuma, tidak perlu bayar PTPTN (Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional), peluang pekerjaan untuk anak muda, tol percuma dan macam-macam lagi janji bulan dan bintang ditabur. “Akhirnya apabila kuasa sudah ditangan, tertunai tak segala janji? Janji entah ke mana, pelbagai alasan mengelak pulak diberikan,” katanya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-layang itu tidak menafikan Parti Muda sudah turun sebelum ini tetapi persoalannya di mana Syed Saddiq semasa banjir berlaku di Johor seawal 31 December tahun lalu. Dakwanya, sudah terang lagi bersuluh, Syed Saddiq baru sahaja turun untuk membantu rakyat Johor. ”Bila sudah turun terus buat drama. Bukan main dia bersandiwara untuk mengaburi mata rakyat Johor terutamanya di Muar yang dia kononnya sudah awal membantu, padahal realitinya dia baru sahaja sampai ke situ. ”Senang cerita nak cover line lah,” bidasnya. Onn berkata, sedangkan ribuan sukarelawan dan puluhan NGO yang tampil membantu di Johor sejak awal banjir tapi tiada satu pun yang buat drama macam Syed Saddiq. ”Semua orang simpati dengan mangsa banjir, bukan awak seorang. Tak perlulah bersandiwara dan menangguk di air keruh. ”Apa pun, you truly deserve an Oscar for your first class act bro. (Anda benar-benar layak mendapat Oscar untuk aksi kelas pertama anda bro). ”Saya berharap dan berdoa rakyat Johor terutamanya di Muar terbuka mata dan hatinya kepada sandiwara politik yang diwayangkan oleh ketua kepada Parti Muda ini. Lihat bukan hanya dengan mata tetapi dengan akal dan hati,” ujarnya. Sumber: MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT