"Alhamdulillah, saya dah sihat. Sekarang sudah mula kerja semula," kata penyanyi Zizi Kirana yang sebelum ini berkongsi terpaksa berehat selama dua bulan selepas dimasukkan hospital pada Oktober tahun lalu.
Zizi, 37, berkata, sepanjang Januari ini dia bakal terbabit dalam beberapa program televisyen selain menyiapkan single terbaharunya. Menurut Zizi, dia memanfaatkan tempoh dua bulan itu dengan berehat dan meluangkan masa bersama suami tercinta juga pelakon Yusuf Bahrin serta keluarga. "Alhamdulillah, saya sudah boleh kerja. Sudah mula sedikit demi sedikit. Selain sekarang dalam proses habiskan rakaman single baru, saya juga menjalani penggambaran beberapa program. Cukup sudah dua bulan berehat lepas keluar hospital tempoh hari," katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya sehingga dia dimasukkan hospital, Zizi juga penyanyi lagu Eh! berkata, dia mengalami kekurangan darah dan badan lemah kerana terlalu penat bekerja. "Sebenarnya saya dua kali masuk hospital. Cuma yang kali kedua tu agak sakit sikit. Pada awalnya saya pengsan di rumah sebelum dikejarkan ke hospital sehingga perlu dimasukkan dua pek darah. Selepas lima hari baru boleh dibenarkan keluar hospital. "Insya-Allah, untuk kali ini saya cuba untuk urus masa dan kerja dengan lebih baik. Pengurus pun sudah cakap ambil tawaran kerja yang tidak memerlukan komitmen tinggi atau dalam masa yang panjang di lokasi seperti berlakon. Kalau persembahan nyanyian tidak ada masalah," katanya. Mengenai cahaya mata, Zizi yang berkahwin pada 19 September tahun lalu menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT. "Kami tak pernah merancang pun. Kalau ada rezeki, kami sangat gembira. Tapi, kami pun tetap berusaha," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT