Negara ‘haram’ Israel mula memberikan suntikan dos vaksin Covid-19 keempat kepada golongan berusia 60 tahun ke atas, petugas perubatan dan individu yang mempunyai masalah sistem ketahanan badan.
Lapor CNN, Pejabat Perdana Menteri Israel berkata, langkah itu diambil susulan cadangan yang disyorkan oleh pakar Covid-19 negara itu. Individu yang layak menerima suntikan keempat tersebut, sekurang-kurangnya perlu melepasi tempoh empat bulan selepas penerimaan dos ketiga. Hampir semua penduduk di Israel sudah menerima suntikan vaksin Pfizer/BioNTech.
Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengalu-alukan langkah tersebut dan menggalakkan rakyatnya mendapatkan suntikan tersebut segera. “Berita yang sangat menggembirakan. Jadi, jangan buang masa dan dapatkan vaksin anda segera. “Penduduk Israel merupakan negara pertama di dunia yang menerima suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 dan kita akan menjadi pencetus pemberian dos keempat di dunia,” katanya. Dalam pada itu, Prof. Galia Rahav memberitahu radio Israel Selasa lalu, mengenai keputusan dos keempat tersebut bukan sesuatu yang mudah. “Kita tidak mempunyai data lagi terhadap tahap imuniti seperti yang kita lakukan semasa pemberian dos ketiga. Namun, jika dilihat data di negara lain, ia adalah sangat membimbangkan. “Situasi seperti ini, jika anda tidak bertindak segera, anda akan ketinggalan kereta api,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT