Lengan kiri seorang pekerja lelaki di sebuah kilang sawit di Jalan Tanjung Kidurong hancur selepas dijerut mesin pemprosesan hampas sawit, hari ini.
Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Asur, 30, berasal dari Garut Jawa Barat sedang mengendalikan mesin itu sebelum tangan kirinya terperosok masuk ke dalam mesin. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu berkata, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 10.25 pagi. Katanya, setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa dalam keadaan meniarap sedang mengerang kesakitan dengan bahagian tangan kirinya masih terjerut dalam mesin.
"Untuk tindakan awal, pasukan bomba bertindak meregangkan komponen mesin sebelum menarik dan mengeluarkan tangan mangsa dengan menggunakan peralatan khas. "Selepas 15 minit berusaha mengeluarkan tangan kiri mangsa yang tersepit, akhirnya tangan mangsa berjaya dikeluarkan," katanya. Jurucakap itu berkata, sebaik berjaya dikeluarkan, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi segera memberikan rawatan awal. "Belum dapat dipastikan punca insiden tetapi hasil maklumat awal, mangsa dilaporkan sedang bekerja mengendalikan mesin berkenaan," katanya. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT