Rakyat Malaysia tidak termasuk dalam senarai 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia bagi tahun 2022.
Sebaliknya, senarai yang dikeluarkan Pusat Kajian Strategik Islam Diraja (RISSC) itu menyaksikan Presiden Indonesia, Joko Widodo, Jokowi kembali tersenarai antara 50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia 2022. RISSC merupakan lembaga penelitian bebas di Amman, Jordan. Lapor Kompas.com, Jokowi berada di kedudukan ke-13 dan lebih berpengaruh dari Imam Besar di Al-Azhar, Mesir, Sheikh Ahmed al-Tayyeb yang berada di kedudukan ke-14.
Ulama Arab Saudi, Salman Al-Ouda pula berada di atas kedudukan Jokowi. “Indonesia adalah negara demokrasi terbesar ketiga di dunia dan kami juga memiliki populasi Islam terbesar dunia. “Ini menunjukkan demokrasi dan Islam tidak bertentangan. Fahaman keganasan juga tiada kaitan dengan mana-mana agama sekalipun,” kata Jokowi seperti dilaporkan dalam The Muslim 500. Dalam laporan itu, RISSC menjelaskan prestasi yang menjadikan Jokowi sebagai tokoh Islam berpengaruh. Antaranya, Jokowi dianggap berjaya selepas dilantik sebagai Datuk Bandar Solo dan Gabenor DKI Jakarta serta mempunyai daya kepemimpinan tinggi. Selain Jokowi, terdapat dua ulama dari Indonesia yang turut tercalon iaitu Ketua Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Said Aqil Siradj di kedudukan ke-19 dan anggota Dewan Pertimbangan Presiden (Wantimpres), Muhammad Luthfi Yahya di tangga ke-32. RISSC memilih seramai 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia setiap tahun. Senarai tokoh-tokoh yang terpilih itu kemudian diterbitkan dalam sebuah buku berjudul The Muslim 500. Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamid al-Thani berada di kedudukan pertama daripada 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia bagi 2022. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT