Sepanyol akan mengharamkan iklan makanan dan minuman dengan kandungan tinggi gula yang menyasarkan kanak-kanak, lapor AFP.
Ia merangkumi pengiklanan coklat, pastri, ais krim, minuman ringan dan minuman bergula, semuanya ditakrifkan sebagai produk berbahaya oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menteri Hal Ehwal Pengguna, Alberto Garzon, memberitahu pemberita bahawa pengharaman itu akan bermula pada tahun depan. "Ia menyasarkan iklan di televisyen, radio, saluran dalam talian online dan aplikasi mudah alih yang mengeluarkan kandungan untuk pengguna bawah 16 tahun.
"Kanak-kanak bawah umur adalah pengguna yang terdedah, menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka daripada pengiklanan," katanya. Kementerian itu berkata, Sepanyol akan mengikut langkah negara Eropah lain seperti Britain, Norway dan Portugal dalam menguatkuasakan larangan berkenaan. Data negara itu menunjukkan, sekitar satu daripada tiga kanak-kanak di Sepanyol berdepan lebihan berat badan, meningkat tiga peratus berbanding 1984. "Pengiklanan adalah punca data ini" kata kementerian perhubungan pengguna menerusi Twitter. WHO melaporkan, obesiti atau berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 19 tahun di seluruh dunia meningkat mendadak dari empat peratus pada 1975 kepada lebih 18 peratus. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT