View: 3790|Reply: 0
|
Mindef akan bina lebih 7,000 kediaman untuk warga ATM
[Copy link]
|
|
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Unit Army Red Warrior (ARW) dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) serta Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama.
Untuk berita terkini Sinar Harian, ikuti di Telegram dan TikTok kami
PUTRAJAYA - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan membina lebih 7,300 kediaman di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang dengan harga bermula RM150,000.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini merupakan perancangan kedua setelah projek pertama di Sungai Besi yang sedang dalam pembinaan.
Beliau berkata, rumah yang berkeluasan bermula 1,000 kaki persegi itu akan dijual kepada anggota tentera dengan harga subsidi di tanah Kementerian Pertahanan berkenaan dan ia tidak dijual kepada pihak awam.
"Mengikut kuota, 80 peratus kepada anggota tentera, 15 peratus kepada veteran tentera dan selebihnya kepada penjawat awam yang bekerja dengan Mindef," katanya menambah majlis pecah tanah dijangka dilaksanakan pada awal bulan depan.
Mohamad berkata demikian selepas menghadiri majlis pemeteraian perjanjian perpindahan dan pembangunan semula Kem Pusat Latihan Polis Tentera (Pulapot), markas Unit Army Red Warrior (ARW) dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) serta pembangunan SASaR di sini yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pembinaan kediaman itu merupakan kerjasama pintar Mindef dan Platinum Victory dengan syarikat tersebut juga akan membina kem ARW dan Pulapot di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Mohamad berkata, menjadi hasrat Mindef untuk memastikan anggota tentera memiliki kediaman sendiri selain menjaga kebajikan dan kesejahteraan anggota tentera.
Sementara itu, Mindef dalam kenyataan menyebut perumahan SASaR Wardieburn menawarkan 974 unit rumah berkeluasan 1,400 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi serta menyediakan kemudahan seperti gimnasium, kolam renang dan dua lot parkir bagi setiap rumah.
SASaR Genting Klang pula menawarkan 6,400 unit rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi serta mempunyai kemudahan asas yang setara dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) seperti pembangunan perumahan mampu milik lain.
Dalam pada itu, pemeteraian penjanjian hari ini melibatkan perpindahan dan pembangunan semula aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Pulapot, Markas Tim Akrobatik ARW dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemudahan-kemudahan berkaitan yang pada asalnya berada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa bakal dibina di tapak Mukim Si Rusa, Port Dickson antara lain melibatkan pembinaan pejabat markas, Wisma Perwira, dewan serbaguna, kemudahan bilik latihan dan penginapan, padang kawad, lapang sasar dan lain-lain kemudahan.
"Bagi anggota ATM yang bakal berpindah, sebanyak 213 unit RKAT pelbagai kelas bakal disediakan dengan kemudahan yang lengkap seperti kompleks komuniti, surau, sekolah rendah agama, tadika, taska dan gelanggang sukan," menurut kenyataan itu. - Bernama.
https://www.sinarharian.com.my/a ... man-untuk-warga-atm |
|
|
|
|
|
|
| |
|